
PETALING JAYA – Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Penuntut Terbaik Keseluruhan Kursus Infantri Penembak Tepat 2026 di China, baru-baru ini.
Pegawai berkenaan menerima Anugerah Penuntut Cemerlang selepas mencatatkan prestasi memberangsangkan sepanjang program tersebut di Kampus Shijiazhuang, Akademi Infantri Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), Hebei, China.
TLDM menerusi kenyataan memaklumkan, pegawai tersebut mengikuti kursus itu bermula 1 Mac hingga 31 Julai lalu bersama 131 penuntut dari lebih 24 negara.
“Selain anugerah tertinggi berkenaan, pegawai itu turut menerima Sijil Kepujian – Kader Cemerlang serta Pingat Lencana Perak berdasarkan pencapaian dalam penilaian kursus.
“Bagi kategori Ujian Penembak Tepat Individu (Kumpulan 1), beliau turut mencatat keputusan membanggakan apabila menduduki tempat kedua daripada 38 penuntut,” kata kenyataan itu, hari ini.
Jelas TLDM, pencapaian itu mencerminkan tahap kompetensi, disiplin, ketahanan mental, ketelitian serta keupayaan pegawai untuk bersaing dalam persekitaran latihan ketenteraan antarabangsa yang kompetitif.
Malah kata kenyataan sama, ia berpotensi menyumbang kepada peningkatan keupayaan latihan, perkongsian pengetahuan dan pembangunan kompetensi warga TLDM dalam bidang berkaitan.
“Pada masa yang sama, kejayaan ini memperkukuhkan imej profesionalisme ATM serta hubungan ketenteraan antara Malaysia dan negara luar,” tambah kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE
The post Pegawai TLDM dinobat penuntut terbaik kursus ‘sniper’ di China appeared first on Kosmo Digital.


