HeiTech Padu teroka peluang infrastruktur digital menerusi projek bandar siber di Myanmar

LocalTechnology
13 Nov 2026 • 2:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HeiTech Padu teroka peluang infrastruktur digital menerusi projek bandar siber di Myanmar Image from: HeiTech Padu teroka peluang infrastruktur digital menerusi projek bandar siber di Myanmar liza13/11/2026 - 14:28 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov – HeiTech Padu Bhd sedang meneroka peluang untuk menyertai projek Yadanapon Cyber City di Myanmar sebagai sebahagian daripada usaha memperluas perniagaan syarikat itu ke pasaran serantau.

 

Penyedia perkhidmatan teknologi itu berkata, peluang yang sedang diteliti merangkumi penyediaan infrastruktur digital, integrasi sistem serta penyelesaian teknologi untuk sektor kerajaan di Myanmar.

 

Menurut HeiTech, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan di Myanmar, termasuk Diamond Palace Group of Companies pada 2024 sebelum meneruskan perbincangan lanjut pada September dan Oktober 2026.

 

“Perkembangan itu mencerminkan usaha kumpulan untuk mengenal pasti peluang perniagaan baharu di luar Malaysia menerusi kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Delegasi kerajaan Myanmar lawat fasiliti HeiTech

Dalam perkembangan berkaitan, HeiTech baru-baru ini menerima kunjungan delegasi kerajaan Myanmar di fasiliti HeiTech Village 2 di Bukit Jelutong, Shah Alam.

 

Delegasi itu diketuai Menteri Kesatuan Buruh Myanmar, Maung Myint dan diberikan taklimat mengenai keupayaan teknologi kumpulan berkenaan termasuk integrasi sistem, pembangunan aplikasi, perkhidmatan terurus serta infrastruktur digital.

 

Delegasi berkenaan turut dibawa melawat kemudahan infrastruktur pelayan, perkhidmatan penempatan pelayan (colocation), sandaran data dan penyimpanan data milik kumpulan itu.

 

Lawatan berkenaan memberi peluang kepada HeiTech untuk memperkenalkan keupayaan serta pengalaman syarikat dalam menyediakan penyelesaian teknologi kepada delegasi kerajaan Myanmar.

 

Bawa kepakaran teknologi Malaysia ke Myanmar

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HeiTech, Syed Omar Albar Syed Abdullah berkata, syarikat melihat peluang untuk memperluas penawaran perkhidmatan teknologinya ke Myanmar.

 

Beliau berkata, pengalaman kumpulan itu dalam menyediakan penyelesaian teknologi kritikal di Malaysia menjadi asas untuk meneroka peluang di pasaran lain.

 

Menurutnya, perkembangan digital Myanmar menawarkan beberapa bidang yang wajar diterokai, selain pihaknya mengalu-alukan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan bagi memahami peluang berkenaan dan mengenal pasti sumbangan yang boleh diberikan oleh HeiTech.

 

Beliau berkata, penglibatan itu merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan untuk memperluas kehadiran di pasaran serantau menerusi kerjasama strategik. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved