Helikopter terhempas: KKM tunggu laporan rasmi padanan DNA mangsa

10 Sep 2026 • 11:14 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Helikopter terhempas: KKM tunggu laporan rasmi padanan DNA mangsa
Kesemua mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di STOLport Long Lellang, pedalaman Baram, pada Selasa disahkan meninggal dunia.
Image from: Helikopter terhempas: KKM tunggu laporan rasmi padanan DNA mangsa
SAR di sekitar lokasi nahas helikopter FDS yang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram.
Image from: Helikopter terhempas: KKM tunggu laporan rasmi padanan DNA mangsa
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, hari ini.Operasi SAR melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi berkaitan dalam usaha mengesan, mengesahkan lokasi kejadian, menyelamat dan mengurus mangsa.- Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu laporan rasmi berhubung keputusan padanan asid deoksiribonukleik (DNA) lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sudah mengetahui mengenai perkembangan berkaitan pengambilan sampel DNA keluarga mangsa, namun setakat ini belum menerima pengesahan keputusan padanan secara rasmi.

“Kita sudah mendengar (perkembangan ini), tetapi kita belum mendapat sesuatu (maklumat) yang sifatnya rasmi.

“Apabila kita mendapat pengesahan secara rasmi (berhubung perkara ini), Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Mahathar Abd Wahab pastinya akan membuat penerangan (memberi kenyataan),” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan proses padanan DNA mangsa susulan pengambilan sampel DNA daripada ahli keluarga bagi tujuan pengecaman rasmi.

Pada Rabu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dilapor mengesahkan identiti kesemua lima mangsa dikenal pasti menerusi barangan peribadi pada jasad mangsa, cebisan pakaian serta kedudukan tempat duduk di dalam helikopter.

**media[3642318]**

ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara bawa lima penumpang terhempas - CAAM

Nahas helikopter: 'Saya berdoa semoga Dr Ainul ditempatkan di syurga' - Ibu

**media[3642319]**

Kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung dan tidak sempurna, manakala sampel DNA ahli keluarga diambil bagi proses pengecaman rasmi di Hospital Miri.

Kesemua mangsa ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham; pegawai perubatan, Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.

Helikopter jenis BO-105 yang dikendalikan Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu terhempas berhampiran STOLport Long Lellang pada petang Selasa ketika melaksanakan penerbangan FDS.

Sementara itu, Mahathar meminta semua pihak menunggu pengumuman lanjut daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada Rabu telah menjelaskan tatacara serta proses seterusnya.

“Dalam kenyataan tersebut jelas memaklumkan tatacara dan proses-proses seterusnya. Saya harap kita menunggu pengumuman lanjut daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak berkaitan perkara ini,” ujarnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved