KUALA LUMPUR - Semua ahli dan kepimpinan UMNO diingatkan supaya menghentikan amalan menjadikan parti sebagai ‘stesen transit’ demi mengejar kepentingan peribadi mahupun jawatan semata-mata.
Ketua UMNO Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, kesetiaan kepada parti bukan lagi suatu pilihan, tetapi kewajipan moral dan politik.
"UMNO tidak pernah dibina atas dasar jawatan, tetapi atas kesetiaan, pengorbanan dan disiplin perjuangan.
"Setia ketika susah, bertahan ketika kalah dan tidak meninggalkan parti apabila tidak berkuasa, inilah yang membezakan antara pejuang dan penumpang.
"Janganlah apabila tiada jawatan atau tidak dapat (menjadi) calon, habis masalah dalam kain hendak diceritakan kepada orang luar. UMNO tidak boleh lagi diumpamakan seperti stesen transit politik oleh individu sebegini," katanya ketika perbahasan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada Jumaat.
Ahli Parlimen Tampin itu menegaskan, UMNO perlu mengambil iktibar daripada pengkhianatan yang dilakukan segelintir ahli terdahulu sehingga mencalar maruah dan disiplin parti keramat Melayu itu.
Menurutnya, UMNO tidak seharusnya lagi menjadi stesen transit politik kepada individu yang hanya menjadikan parti sebagai platform untuk kepentingan tertentu.
"Memandangkan UMNO kini telah mula mendapat kembali kepercayaan dalam kalangan orang muda menerusi pendaftaran keahlian, saya menyeru supaya mereka diberikan ruang yang sebaiknya untuk mengasah kepimpinan.
"Selain itu, besar harapan saya supaya parti ini tidak lagi mengamalkan pemilihan calon yang diumpamakan sebagai calon payung terjun.
"Hentikan amalan menjadikan seseorang itu calon atas dasar dia kawan kita, mengikut selera tekak kita tanpa mendengar pandangan ahli akar umbi," ujarnya.





