
KUALA LUMPUR: UMNO diselamatkan oleh barisan kepimpinan dan kesetiaan akar umbi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), bukannya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, tanpa kepimpinan yang cekal ketika itu, UMNO mungkin sudah tidak lagi wujud sebagai sebuah parti politik.
“Jika kita mengenang kembali keadaan parti kita pasca PRU14, jika parti ini tidak diurus oleh seorang sekental Yang Amat Berhormat Presiden, saya fikir UMNO ini mungkin sudah tidak ada lagi.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa parti ini diselamatkan oleh pemimpin dan barisan kepimpinan kita. Parti ini bukan diselamatkan oleh Yang Amat Berhormat PMX seperti yang dimainkan oleh pihak-pihak di luar sana.
“Parti UMNO ini rumah kita. Pemimpin yang kita angkat, pemimpin kita yang berada di atas pentas inilah yang melaksanakan amanah mereka. Pasal apa pula parti ini diselamatkan oleh seorang manusia yang bernama Anwar Ibrahim?” katanya ketika menyokong Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.
Pada masa sama, beliau mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas keteguhan beliau memimpin parti ketika berdepan tekanan selepas PRU14.
“Secara peribadi dan dengan rasa rendah diri, saya mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Presiden kerana menunjukkan sifat kecekalan dan semangat bangkit melawan tatkala UMNO ditekan habis-habisan dan hendak diharamkan oleh pihak lawan suatu ketika dulu,” katanya.
Menurut beliau, UMNO kini masih mampu meneruskan perjuangan dan khidmat kepada rakyat hasil kekuatan serta kesetiaan ahli parti yang tidak pernah luntur.
“Alhamdulillah, hari ini UMNO masih lagi bernyawa dan ditakdirkan oleh Allah SWT untuk terus berkhidmat,” katanya.
Mohd Isam berkata, kelangsungan UMNO turut didorong doa dan keikhlasan pejuang terdahulu serta komitmen ahli akar umbi dan jentera parti untuk memastikan UMNO terus bangkit.
“Hal ini sudah tentunya kerana berkat doa yang tajam dan keikhlasan pejuang-pejuang UMNO terdahulu. Selain itu, sudah tentunya kerana tuan-tuan dan puan-puan sendiri selaku ahli akar umbi dan jentera parti yang semangatnya tidak pernah luntur untuk terus berjuang melihat UMNO ini bangkit kembali,” katanya. –UTUSAN
The post Bukan Anwar selamatkan UMNO – Mohd Isam appeared first on Utusan Malaysia.






