Hentikan Keganasan Rumah Tangga: Kenali Tanda Awal Dan Cara Mendapatkan Bantuan

LocalFamily & Parenting
28 Jun 2026 • 3:04 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Hentikan Keganasan Rumah Tangga: Kenali Tanda Awal Dan Cara Mendapatkan Bantuan

KUALA LUMPUR — Keganasan rumah tangga masih menjadi isu yang membimbangkan dalam masyarakat walaupun pelbagai usaha kesedaran telah dilaksanakan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ia bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa secara fizikal, malah boleh menjejaskan kesihatan mental, emosi serta kesejahteraan keluarga dalam jangka panjang.

Isu keganasan rumah tangga di Malaysia masih menunjukkan trend yang membimbangkan. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mendedahkan bahawa sebanyak 5,507 kes keganasan rumah tangga direkodkan pada 2023 sebelum meningkat kepada 7,116 kes pada 2024 dan 7,391 kes pada 2025 berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM). Menurut beliau, angka tersebut hanya melibatkan kes yang dilaporkan dan jumlah sebenar berkemungkinan lebih tinggi kerana masih terdapat mangsa yang memilih untuk berdiam diri atau tidak mendapatkan bantuan.

Memahami Realiti Keganasan Rumah Tangga

Keganasan rumah tangga merujuk kepada sebarang bentuk perlakuan yang menyebabkan penderaan, ancaman, ketakutan atau kawalan terhadap pasangan, ahli keluarga atau individu yang tinggal serumah. Ramai masih beranggapan keganasan rumah tangga hanya melibatkan kecederaan fizikal. Hakikatnya, ia turut merangkumi penderaan emosi, psikologi, seksual dan kewangan yang boleh memberi kesan mendalam terhadap kehidupan mangsa.

Antara tanda-tanda yang sering berlaku termasuk perlakuan fizikal seperti dipukul, ditolak atau dicederakan. Selain itu, mangsa juga mungkin berdepan penderaan emosi apabila dihina, dimaki atau dipermalukan secara berterusan. Dalam sesetengah keadaan, pelaku turut mengawal pergerakan mangsa, mengehadkan hubungan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan serta menyekat kebebasan mengurus kewangan sendiri. Ada juga mangsa yang dipaksa melakukan perkara yang tidak dipersetujui sehingga menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Cabaran Baharu Dalam Era Digital

Dalam era digital, bentuk keganasan rumah tangga turut berubah seiring perkembangan teknologi. Mangsa boleh menjadi sasaran pemantauan berlebihan melalui telefon pintar, media sosial atau aplikasi pemesejan. Terdapat juga kes melibatkan ugutan penyebaran gambar peribadi, kawalan kata laluan akaun serta gangguan dalam talian yang menjejaskan keselamatan dan kebebasan individu.

Keadaan ini sering menyebabkan mangsa berasa terperangkap, takut dan sukar mendapatkan bantuan. Selain itu, ramai mangsa memilih untuk berdiam diri kerana bimbang dipersalahkan, malu untuk berkongsi masalah atau takut terhadap tindakan pelaku. Namun, mendapatkan bantuan awal merupakan langkah penting bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.

Kesan Yang Tidak Wajar Dipandang Ringan

Keganasan rumah tangga boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan mangsa. Selain kecederaan fizikal, mangsa berisiko mengalami trauma emosi, kemurungan, gangguan kebimbangan serta kehilangan keyakinan diri. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan, prestasi kerja dan hubungan sosial mereka.

Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran sebegini turut berisiko mengalami tekanan emosi, masalah pembelajaran dan perkembangan sosial yang tidak sihat. Justeru, isu ini bukan sekadar masalah peribadi sesebuah keluarga, sebaliknya melibatkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Usaha menangani keganasan rumah tangga memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk keluarga, komuniti, agensi kerajaan dan organisasi masyarakat sivil. Masyarakat perlu lebih peka terhadap tanda-tanda keganasan yang berlaku di sekeliling mereka dan tidak menganggap perkara tersebut sebagai urusan peribadi semata-mata.

Sokongan moral, bantuan mendapatkan perlindungan dan galakan untuk membuat laporan boleh membantu mangsa keluar daripada situasi yang berbahaya. Sikap prihatin serta kesediaan untuk membantu mampu memberi perubahan besar kepada individu yang sedang berdepan dengan keganasan.

Sokongan Dan Bantuan Untuk Mangsa

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) terus memperkukuh pelbagai program advokasi, kesedaran dan intervensi bagi membantu wanita yang berdepan dengan isu keganasan rumah tangga. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak, perlindungan dan saluran bantuan yang tersedia.

JPW turut memperkenalkan PRISMAnita sebagai platform sokongan dan rujukan bagi memperkasakan wanita di seluruh negara. Melalui pelbagai program ini, masyarakat didedahkan dengan maklumat berkaitan pencegahan, pengesanan awal serta tindakan yang boleh diambil sekiranya berdepan atau mengetahui kes keganasan rumah tangga.

Mangsa atau individu yang memerlukan khidmat nasihat dan sokongan boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 untuk mendapatkan bantuan segera.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan perkhidmatan yang disediakan dengan mengunjungi PRISMAnita di Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) yang terdapat di seluruh negara.

Selain itu, maklumat berkaitan inisiatif, program dan perkhidmatan Jabatan Pembangunan Wanita boleh diperoleh menerusi laman web rasmi www.jpw.gov.my serta platform media sosial rasmi JPW di Facebook (Jabatan Pembangunan Wanita – JPW), Instagram (@jpwmalaysia), TikTok (@jpwmalaysia) dan YouTube (Jabatan Pembangunan Wanita Malaysia).

Saluran ini menyediakan pelbagai maklumat mengenai perlindungan wanita, kesejahteraan keluarga, program komuniti serta kempen kesedaran yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Membudayakan Sifar Toleransi Terhadap Keganasan

Kempen Hentikan Keganasan Rumah Tangga 2026 dilaksanakan bagi memperluas kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melindungi wanita daripada sebarang bentuk keganasan. Kempen ini juga bertujuan memupuk tanggungjawab kolektif semua pihak dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, inklusif dan bebas daripada keganasan.

Mesej utama kempen ini jelas, keganasan rumah tangga bukan perkara yang boleh dipandang ringan dan setiap individu mempunyai peranan dalam membantu menghentikannya. Kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat mampu membantu mengurangkan stigma terhadap mangsa serta menggalakkan lebih ramai individu tampil mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

Keganasan rumah tangga bukan perkara yang perlu dipendam sendirian. Jika anda atau seseorang yang anda kenali menjadi mangsa, dapatkan bantuan segera. Bersama-sama kita hentikan keganasan rumah tangga dan wujudkan masyarakat yang lebih selamat untuk semua.

 

Image from: Hentikan Keganasan Rumah Tangga: Kenali Tanda Awal Dan Cara Mendapatkan Bantuan

The post Hentikan Keganasan Rumah Tangga: Kenali Tanda Awal Dan Cara Mendapatkan Bantuan appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved