
WARGA asing yang datang ke Malaysia sebagai pekerja didakwa mengambil kesempatan menggunakan nama isteri tempatan untuk menjalankan perniagaan. Taktik ini membolehkan mereka mengendalikan kedai tanpa berdepan sekatan yang sepatutnya dikenakan terhadap penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan.
Keadaan tersebut semakin ketara di beberapa kawasan tumpuan, khususnya berhampiran stesen bas dan penempatan warga asing. Ada lokasi yang turut dikenali sebagai ‘Mini Dhaka’ berikutan banyaknya premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing. Antaranya melibatkan warga Pakistan, Bangladesh dan Rohingya.
Lebih membimbangkan, terdapat premis yang didakwa mengabaikan aspek kebersihan sehingga haiwan ternakan dipelihara di dalam kawasan kedai. Sesetengah premis pula menjalankan beberapa jenis perniagaan dalam satu ruang sehingga menimbulkan persoalan mengenai pematuhan syarat lesen dan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Keadaan seperti yang dilaporkan berlaku di Selayang dan beberapa lokasi lain tidak sepatutnya dibiarkan sehingga tular di media sosial sebelum tindakan diambil. Penguatkuasaan perlu dilakukan secara berkala, bukan sekadar bertindak selepas menerima aduan atau mendapat perhatian orang ramai.
Alasan suami warga asing perlu berniaga untuk menyara keluarga tidak boleh mengatasi undang-undang. Perkahwinan dengan penduduk tempatan juga tidak seharusnya menjadi jalan mudah untuk mendapatkan ruang berniaga sekiranya individu berkenaan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Jika amalan menggunakan nama isteri tempatan terus dibiarkan, lebih ramai mungkin mengambil kesempatan sehingga menjejaskan peluang peniaga tempatan. Pihak berkuasa perlu menyemak semula prosedur pemberian lesen, mengenal pasti pemilik sebenar perniagaan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan nama pasangan.
Saya merayu agar PBT memperketat syarat serta pengawasan terhadap premis yang disyaki dikendalikan warga asing menggunakan nama rakyat tempatan. Langkah tegas dan konsisten penting bagi memastikan undang-undang dipatuhi, kebersihan terpelihara serta kepentingan peniaga tempatan terus dilindungi. –UTUSAN
PEMERHATI
Kuala Lumpur
The post Hentikan penyalahgunaan nama isteri tempatan appeared first on Utusan Malaysia.





