‘Hentikan Segera Isu Penternakan Babi’, Pendirian Sultan Selangor Kekal

LocalPolitics
7 May 2026 • 8:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Hentikan Segera Isu Penternakan Babi’, Pendirian Sultan Selangor Kekal

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah dalam negeri berkenaan.

Menegaskan perkara itu, Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.

Menurut beliau, baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Selangor sahaja. 

“Justeru, baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di Selangor,” katanya. 

Keadaan sama jelas Mohamad Munir, turut dilakukan negara seperti Singapura yang tidak menternak babi dan mengimport daging haiwan itu dari luar.

“Sultan Selangor juga berpandangan bahawa penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh,” katanya. 

Beliau menarik perhatian, Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar isu penternakan babi ini dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop).

“Ia demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Negeri Selangor terus terpelihara,” katanya. - Getaran, 7 Mei 2026