Sultan Sharafuddin kekal tidak berkenan aktiviti ternakan babi di Selangor

LocalPolitics
7 May 2026 • 5:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sultan Sharafuddin kekal tidak berkenan aktiviti ternakan babi di Selangor
Sultan Sharafuddin mahu isu berkaitan penternakan babi dihentikan serta dimuktamadkan sepenuhnya bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di negeri ini sama ada berskala besar mahupun kecil susulan faktor kesesuaian guna tanah serta risiko alam sekitar yang boleh menjejaskan kepentingan awam.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu kekal seperti yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari lalu berhubung isu penternakan babi di negeri ini.

"Baginda menegaskan tidak berkenan aktiviti tersebut dilakukan di mana-mana daerah di Selangor," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, pendirian baginda dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai implikasi termasuk risiko pencemaran terhadap tanah, udara serta sumber air akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan ternakan tersebut.

"Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap potensi pencemaran boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai utama yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira 9 juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya," jelas beliau.

Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor turut berpandangan kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal untuk dilaksanakan hanya bagi memenuhi keperluan bekalan daging babi di negeri ini sahaja.

Sehubungan itu katanya, baginda mencadangkan agar bekalan daging babi diimport dari luar negeri seperti Sarawak sama seperti amalan sesetengah negara termasuk Singapura yang tidak menjalankan aktiviti penternakan tersebut secara domestik.

Menurut Mohamad Munir, faktor lain yang turut diambil kira ialah keadaan negeri Selangor yang mempunyai sumber tanah terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang lebih sesuai dimanfaatkan untuk pembangunan yang memberi pulangan ekonomi lebih besar serta manfaat menyeluruh kepada rakyat.

"Baginda menegaskan agar isu berkaitan penternakan babi ini dihentikan serta dimuktamadkan sepenuhnya bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan memastikan keharmonian rakyat terus terpelihara," tambah beliau.