Hentikan semua kegiatan pembakaran terbuka elak jerebu bertambah buruk

LocalEnvironment
5 Sep 2026 • 8:59 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Hentikan semua kegiatan pembakaran terbuka elak jerebu bertambah buruk

Semua pihak digesa menghentikan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kualiti udara dan keadaan jerebu di Sarawak bertambah buruk.

SARIKEI: Semua pihak diminta menghentikan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu di Sarawak bertambah buruk sehingga menjejaskan kesihatan dan aktiviti harian rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen Pembangunan Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Datuk Yusuf Abdul Wahab berkata kegiatan pembakaran, termasuk sampah perlu dihentikan sehingga keadaan kembali pulih.

Beliau berkata langkah berjaga-jaga perlu dipertingkatkan susulan pengisytiharan darurat jerebu di Bahagian Serian oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam.

“Saya ingin berpesan kepada semua pihak supaya jangan sekali-kali melakukan pembakaran terbuka ketika ini. Jangan membakar sampah atau hutan secara terbuka. Tangguhkan dahulu sehingga keadaan jerebu reda.

“Kita tidak mahu keadaan ini berlarutan sehingga menimbulkan kekangan terhadap urusan harian, perjalanan dan pelbagai aktiviti. Sekolah serta banyak premis terpaksa ditutup dan keadaan ini sudah tentu menyusahkan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 Parlimen Tanjung Manis di sini hari ini.

Yusuf yang juga Ahli Parlimen Tanjung Manis turut menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat jerebu.

Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Tanjung Manis dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sarikei itu disertai 1,014 calon dari seluruh kawasan Parlimen berkenaan.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Sarawak Mohd Faizal David Jemat.

Yusuf yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia berkata program BLM mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah, khususnya di luar bandar, memperoleh lesen memandu pada kos lebih rendah.

“Dengan memiliki lesen memandu sah, golongan B40 boleh menggunakan motosikal untuk mencari rezeki dan menambah pendapatan, sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved