
KUALA LUMPUR – Penganjur acara Heritage Ride Taiping 2025 mensasarkan 2,000 peserta bakal mengambil bahagian pada edisi ketiga itu yang akan berlangsung di Dataran Warisan Taiping, Perak 25 Oktober depan.
Difahamkan, acara yang dianjurkan Kelab Berbasikal Elit dengan kerjasama Gosportz Sdn. Bhd. itu sudah berjaya menarik penyertaan peminat berbasikal dari seluruh negara dengan separuh daripada kuota sudah diisi.
Acara yang dijadualkan bermula seawal 7 pagi itu akan menawarkan gabungan perlumbaan kompetitif dan santai selain memberi peluang kepada peserta untuk menikmati keunikan bandar warisan tersebut.
Pada edisi kali ini, tiga kategori dipertandingkan, melibatkan perlumbaan kompetitif dengan jarak 90 kilometer (km) dan 60km selain kayuhan santai 20km yang sesuai untuk peserta rekreasi dan keluarga.
Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, Heritage Ride bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah turut menjadi medan terbaik memperkenalkan nilai sejarah Taiping kepada orang ramai.
“Acara Heritage Ride memberi peluang kepada setiap peserta untuk menghayati legasi Taiping sambil menggalakkan gaya hidup sihat selain menyokong ekonomi pelancongan tempatan,” katanya.
Bagi menarik minat orang ramai, penganjur turut menjalinkan kerjasama dengan Zoo Taiping menerusi pemberian 1,000 keping tiket masuk percuma kepada peserta berdaftar dan kesemua tiket habis ditebus selepas pendaftaran dibuka.
Sementara itu, dalam usaha menarik penyertaan generasi muda, pelajar yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun boleh mendaftar secara percuma menerusi sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). – KOSMO! ONLINE
The post Heritage Ride Taiping dapat sambutan hangat appeared first on Kosmo Digital.




![“Ini Hanya Meme” – Acara ‘6 7’ Anjuran Leona Di Dataran Merdeka Curi Perhatian Ramai [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/07/67-leona-event-di-Dataran-Merdeka.jpg?t=1783576338)