HHRG tambah 10% pegangan dalam Open Road berharga RM5.5 juta

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2025 • 3:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HHRG tambah 10% pegangan dalam Open Road berharga RM5.5 juta

image is not available

24/09/2025 - 15:28

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Sept - HHRG Berhad mengambil alih tambahan 10% kepentingan ekuiti dalam Open Road (SP Circuit) Sdn Bhd daripada Jingshi Holdings (M) Sdn Bhd dengan bayaran tunai RM5.5 juta.

Pembelian itu akan meningkatkan pegangan kumpulan itu dalam Open Road kepada 61% daripada 51% ketika ini, sekali gus memberi kawalan lebih besar terhadap syarikat yang menganjurkan acara sukan dan memiliki tanah yang telah diperuntukkan untuk pembangunan.

“Pemerolehan ini akan dibayar sepenuhnya secara tunai dan dibiayai melalui dana dalaman HHRG,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Urus niaga itu dibuat berdasarkan persetujuan antara pembeli dan penjual, dengan mengambil kira penilaian bebas tanah di Sungai Petani yang sebahagiannya dimiliki oleh Open Road.

Tanah tersebut dinilai pada RM96.68 juta oleh Rahim & Co International pada April 2024, dan nilai itu disahkan semula pada Ogos 2025.

HHRG berkata, pemerolehan itu akan mengukuhkan kedudukannya dalam Open Road, yang memiliki tanah strategik yang dirancang untuk pembangunan taman perindustrian berkonsepkan drag strip.

Projek itu dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan perindustrian di utara Malaysia apabila lebih banyak syarikat multinasional dan tempatan mengembangkan operasi mereka dari Pulau Pinang dan Kulim.

Syarikat itu berkata, pemerolehan itu tidak akan menjejaskan modal saham atau nisbah hutang, kerana ia dibiayai secara dalaman.

Ia juga dijangka tidak memberi kesan terhadap pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, memandangkan urus niaga itu dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun ini.- DagangNews.com

standard