Kerjasama strategik dengan Brookfield CTF, Solarvest berpotensi raih kontrak EPCC sehingga RM5 bilion dalam tempoh 5 tahun - penganalisis

23/09/2025 - 10:31
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 23 Sept - Solarvest Holdings Berhad berpotensi memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) antara RM3 bilion hingga RM5 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang menerusi kerjasama strategik dengan Brookfield CTF Asia Holdings, menurut penganalisis.
RHB Research berkata, perkongsian itu terjalin selepas Solarvest menandatangani Perjanjian Rangka Pelaburan Bersama dengan Brookfield untuk membangunkan sekurang-kurangnya 1,500MWp projek tenaga boleh diperbaharui (RE), terutamanya di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat Malaysia (CRESS).
Katanya, melalui Brookfield, Solarvest dijangka mendapat akses kepada modal kos rendah serta rangkaian pelanggan korporat antarabangsa.
"Ia akan menjadi faktor kritikal bagi memastikan kelayakan projek dan mempercepat pembangunan RE, sejajar dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
"Setiap projek akan diurus melalui syarikat tujuan khas (SPV) dengan struktur pemilikan 51% oleh Solarvest dan 49% oleh Brookfield.
"Pembiayaan pula akan dijalankan secara berasingan mengikut projek melalui gabungan hutang (pinjaman, bon atau sukuk) serta sumbangan ekuiti daripada kedua-dua pihak," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, selain kontrak EPCC dan projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), Solarvest juga dijangka menjana pendapatan tambahan melalui margin pembangunan serta jualan tenaga elektrik daripada projek yang siap dibangunkan.

Katanya, Solarvest akan mengetuai aspek pembangunan, termasuk mengenal pasti tapak, kelulusan kawal selia, pajakan tanah dan penyempurnaan projek.
"Sehingga suku pertama FY26, buku tempahan tertunggak Solarvest berjumlah RM1.2 bilion, dengan 77.8% daripadanya melibatkan projek utiliti berskala besar.
"Pihak pengurusan menyasarkan buku tempahan meningkat kepada RM2 bilion menjelang akhir tahun 2025, dengan potensi tambahan ke tahun 2026 dipacu program MyBeST, anugerah EPCC LSS5+ serta projek tenaga solar utiliti baharu di bawah CRESS," katanya.
Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kerjasama itu dijangka meningkatkan trajektori pertumbuhan Solarvest, menyokong segmen EPCC serta pembangunan aset baharu (solar + BESS).
Firma itu penyelidikan itu percaya, kerjasama itu akan mengukuhkan kedudukan Solarvest dalam pasaran CRESS yang sedang berkembang pesat, dan dijangka menjadi pemacu utama penggunaan RE – terutamanya pusat data, syarikat semikonduktor serta multinasional besar yang mencari bekalan tenaga hijau.
"Kami percaya kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada penarafan semula Solarvest dalam jangka sederhana.
"Platform 1.5GW yang dibangunkan dijangka mempercepatkan laluan Solarvest ke arah pertumbuhan pendapatan berulang dan pengembangan portfolio baharu, khususnya dalam BESS.
"Risiko pelaksanaan seperti isu tanah, grid dan kawal selia mungkin wujud, namun kami yakin ia boleh diurus memandangkan rekod pencapaian Solarvest yang terbukti serta pengalaman global Brookfield," katanya.- DagangNews.com
standard

