
KUALA LUMPUR 18 Dis – Pengendali bas, HI Mobility Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM14.8 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 (3QFY2026) disokong peningkatan hasil daripada perkhidmatan bas berjadual.
Pada suku berkenaan, kumpulan merekodkan hasil RM82.2 juta, meningkat 3.7% berbanding suku sebelumnya, didorong terutamanya oleh sumbangan perkhidmatan bas berjadual yang meningkat 3.4% kepada RM79.7 juta, selaras dengan penambahan laluan dan bas baharu khususnya di Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia merekodkan PAT sebanyak RM41.3 juta dengan hasil RM235.3 juta bagi tempoh kumulatif 9 bulan.
“Tiada perbandingan tahun ke tahun memandangkan syarikat hanya disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Mac 2025.
“Dari segi kedudukan kewangan, syarikat memiliki tunai dan setara tunai berjumlah RM137.5 juta dengan nisbah bersih yang rendah pada 0.2 kali setakat 31 Oktober 2025, memberikan fleksibiliti yang kukuh untuk pengembangan strategik akan datang,” katanya dalam makluman tersebut.
Sejajar prestasi kewangan yang mampan, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim ketiga satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaham, melibatkan pembayaran berjumlah RM5 juta.
Dividen tersebut akan dibayar pada 21 Januari 2026, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 kepada 3 sen sesaham atau RM15 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif HI Mobility Lim Chern Chuen berkata prestasi konsisten kumpulan mencerminkan kestabilan dan kebolehskalaan operasi, dengan segmen rentas sempadan dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.
“Kami melihat peluang baharu dalam perkhidmatan first- dan last-mile susulan projek akan datang seperti Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS), yang berpotensi meningkatkan nilai dan keuntungan laluan rentas sempadan,” katanya.
Tambahnya, kumpulan sedang memposisikan diri dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) melalui cadangan pengambilalihan Acacia Motor Services dan Handal BCM, yang dijangka mewujudkan sinergi operasi merentasi rantaian nilai kenderaan komersial termasuk ekosistem EV.
Setakat 31 Oktober 2025, buku pesanan belum dibilkan bagi perkhidmatan kontrak kepada agensi kerajaan dan korporat berjumlah RM190 juta, yang dijangka menyokong keterlihatan pendapatan mampan sehingga selepas 2027. - DagangNews.com

