Top Glove catat pemulihan luar biasa, keuntungan bersih melonjak lebih 600% kepada RM38.6 juta pada 1QFY2026

LocalBusiness & Finance
17 Dec 2025 • 2:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Top Glove catat pemulihan luar biasa, keuntungan bersih melonjak lebih 600% kepada RM38.6 juta pada 1QFY2026
image is not available
liza17/12/2025 - 14:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Dis – Top Glove Corporation Bhd mencatatkan pemulihan prestasi yang ketara bagi suku pertama berakhir 30 November 2025 (1QFY2026) dengan keuntungan bersih meningkat lebih 600% kepada RM38.58 juta berbanding RM5.5 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Top Glove berkata, hasil kumpulan kekal stabil pada RM883.6 juta, walaupun berdepan tekanan harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah serta pengukuhan ringgit berbanding dolar AS. 

 

“Prestasi lebih kukuh itu disokong pertumbuhan volum jualan sebanyak 17% tahun ke tahun, didorong oleh pemulihan permintaan sarung tangan global khususnya dari pasaran Amerika Syarikat.

 

“Keuntungan operasi melonjak 925% kepada RM41 juta, manakala EBITDA meningkat 41% kepada RM130 juta berikutan kadar penggunaan kilang yang lebih tinggi, kecekapan kos dan penjimatan bahan mentah.

 

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 137% kepada RM45.2 juta, sementara keuntungan selepas cukai kepada pemilik syarikat (PATAMI) melonjak ketara kepada RM38.6 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Dari segi kewangan, kedudukan aliran tunai kumpulan kekal kukuh dengan aliran tunai daripada operasi mencecah RM146.2 juta manakala baki tunai dan setara tunai meningkat kepada RM324.8 juta setakat akhir November 2025.

 

Top Glove turut mengekalkan imbangan kewangan yang sihat dengan jumlah aset sebanyak RM6.31 bilion dan nisbah aset bersih sesaham kekal pada 59 sen.

 

Mengulas prospek, syarikat menjangkakan permintaan sarung tangan terus berkembang disokong kitaran penggantian berterusan dan penggunaan meluas dalam sektor penjagaan kesihatan serta industri lain.

 

Kumpulan itu akan terus mengaktifkan lebih banyak barisan pengeluaran secara berperingkat sambil mengekalkan fokus terhadap kawalan kos dan kecekapan operasi.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove Lim Cheong Guan berkata permulaan kukuh kumpulan bagi FY2026 telah membina momentum berterusan daripada tahun sebelumnya serta menandakan satu pencapaian penting dengan pemulihan margin EBITDA ke paras pra-pandemik.

 

Menurut beliau, prestasi yang jauh lebih baik itu mencerminkan fokus berterusan syarikat terhadap pengoptimuman kualiti dan kecekapan kos, di samping memastikan keperluan pelanggan terus dipenuhi ketika permintaan terhadap sarung tangan menunjukkan pemulihan secara berperingkat dan stabil.

 

Beliau menambah, Top Glove akan terus melaksanakan inisiatif penambahbaikan strategik bagi mengekalkan trajektori prestasi yang positif sambil kekal yakin keupayaan kumpulan untuk menjana nilai yang mampan kepada semua pihak berkepentingan. - DagangNews.com

Terkini standard