Hibiscus Petroleum peroleh pembiayaan Islam RM441 juta bagi pengembangan di Brunei

17/04/2025 - 10:45
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 17 April - Simpor Hibiscus Sdn Bhd, anak syarikat Hibiscus Petroleum Bhd memeterai perjanjian pembiayaan Islam bernilai AS$100 juta (RM440.97 juta) dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Baiduri Bank bagi menyokong pengembangannya dalam sektor minyak dan gas (O&G) di Brunei.
Perjanjian itu menandakan langkah strategik bagi Hibiscus sebagai pengendali baharu O&G di negara itu.
Simpor Hibiscus melengkapkan pengambilalihan TotalEnergies EP (Brunei) BV bernilai AS$259 juta pada Oktober 2024, yang memberikan pegangan kepentingan operasi sebanyak 37.5% dalam medan gas matang Maharaja Lela/Jamalulalam (MLJ) yang terletak di Blok B, kira-kira 85km dari pesisir Brunei.
Medan MLJ, yang mula beroperasi pada 1999, masih mempunyai sumber rizab yang besar dan menyumbang kira-kira 6% daripada jumlah pengeluaran gas Brunei.
Pengerusi Hibiscus, Zainul Rahim berkata, perjanjian pembiayaan itu mencerminkan nilai bersama antara syarikat dan rakan banknya di Brunei.
“Ini bukan sekadar perjanjian rasmi tetapi ia adalah lambang keyakinan kami terhadap masa depan jangka panjang di Brunei. Majlis menandatangani ini merupakan detik penting dalam usaha kolektif kita untuk memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan nilai tempatan, dan menyumbang kepada pembangunan mampan Brunei Darussalam,” katanya dalam satu kenyataan.
BIBD berkata, pembiayaan itu merupakan pencapaian penting dalam mendorong pelaburan strategik yang sejajar dengan matlamat negara.
Baiduri Bank pula berkata, kerjasama itu penting bagi memupuk nilai kepada komuniti Brunei serta menyumbang kepada pembangunan mampan.
Menurut kenyataan itu, perjanjian itu juga bertujuan memperkasa pemindahan ilmu, peluang pekerjaan, dan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam rantaian bekalan tenaga Brunei.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah diadakan di Bandar Seri Begawan pada Rabu dan turut dihadiri Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei, Dr Awang Haji Mohd Amin Liew.
BIBD merupakan bank Islam terbesar di Brunei, manakala Baiduri Bank pula memegang pelbagai anugerah perbankan terkemuka dan mempunyai kehadiran kukuh di peringkat tempatan. - DagangNews.com
featured standard

