Sapura Energy peroleh kontrak hampir RM100 juta di Malaysia, Thailand

LocalBusiness & Finance
16 Apr 2025 • 3:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sapura Energy peroleh kontrak hampir RM100 juta di Malaysia, Thailand

image is not available

16/04/2025 - 15:04

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 April - Sapura Energy Bhd memperoleh beberapa kontrak bernilai hampir RM100 juta secara keseluruhan di Malaysia dan Thailand bagi penyediaan kapal sokongan luar pesisir.

Kontrak-kontrak itu mempunyai tempoh sehingga satu tahun dan akan memastikan kapal kerja berpenginapan dan kapal kaji selidik geosurvey syarikat itu terus beroperasi untuk tempoh yang panjang sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 (FY26).

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi dan Penyelenggaraan Sapura Energy, Nasri Mehat berkata, kejayaan memperoleh kontrak itu menunjukkan keupayaan syarikat untuk menyediakan perkhidmatan sokongan luar pesisir yang boleh dipercayai.

"Bagi FY25 kami mencapai kadar masa operasi sebanyak 99% bagi semua kapal sokongan luar pesisir kami dan mengekalkan rekod keselamatan yang cemerlang, dengan sifar insiden yang boleh direkodkan dan sifar kehilangan masa bekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, beberapa kapal syarikat berjaya mengekalkan rekod sifar masa henti selama bertahun-tahun.

Di bawah kontrak terkini, Sapura Energy akan menyediakan kapal kerja KPV Redang dan Sapura Duyong bagi operasi luar pesisir di Malaysia Timur, dengan tempoh antara lapan bulan hingga setahun, serta pilihan lanjutan.

Kapal kerja berpenginapan Sapura Aman pula telah disewa selama 245 hari dengan pilihan lanjutan, manakala Sapura 300 memperoleh sewaan selama 30 hari.

Di Thailand, kapal kaji geosurvey Sapura Wira telah diupah untuk menjalankan perkhidmatan penggerudian tanah geoteknikal di medan Rossukon di Teluk Thailand, dengan tempoh kontrak dinyatakan dalam minggu, namun butiran lanjut tidak didedahkan.

Sapura Energy, yang berada dalam status Nota Amalan 17 (PN17) sejak Mei 2022, kini sedang memuktamadkan pelan pemulihannya.

Kumpulan itu telah melaksanakan pelan penstrukturan semulanya, termasuk inisiatif penstrukturan semula hutang yang telah mendapat kelulusan daripada kebanyakan pihak pembiaya.

Selain itu, satu skim penyusunan semula komposit telah diluluskan oleh pemiutang dan Mahkamah Tinggi pada Februari 2025.

Tambahan lagi, Sapura Energy telah memperoleh perjanjian pembiayaan bersyarat dengan Malaysia Development Holding Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas di bawah Kementerian Kewangan, bagi pinjaman boleh tukar boleh tebus sehingga RM1.1 bilion, dan dana yang diperoleh akan digunakan untuk melunaskan pembayaran kepada vendor. - DagangNews.com

featured standard