
EVOLUSI teknologi menjadikan landskap hiburan digital terus mengalami transformasi seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat yang semakin pantas.
Sekiranya dahulu penonton sanggup menghabiskan masa berjam-jam menonton siri televisyen mahupun filem, namun kini semakin ramai memilih kandungan lebih ringkas dan padat yang boleh diakses di mana-mana sahaja.
Trend tersebut membuka ruang kepada kemunculan drama mikro iaitu siri pendek yang hanya berdurasi sekitar satu hingga lima minit bagi setiap episod, namun masih mampu menyampaikan jalan cerita lengkap dan menghiburkan.
Fenomena ini mula mendapat perhatian di China sebelum berkembang ke beberapa negara lain termasuk Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat dan India.
Popularitinya turut didorong oleh platform digital serta aplikasi penstriman khusus yang menawarkan ratusan judul drama mikro merangkumi pelbagai genre tidak mengira sama ada romantik, misteri, aksi, komedi atau fantasi.
“Keunikan Mikro drama terletak pada penceritaan yang pantas terutama apabila setiap episod biasanya berakhir dengan situasi tergantung atau cliffhanger bagi mendorong penonton terus mengikut episod seterusnya.
“Pendekatan itu sesuai dengan tabiat pengguna media sosial yang lebih gemar menikmati kandungan dalam tempoh masa singkat ketika sedang bersantai,” lapor Lifestyle Asia.
Karya drama mikro dihasilkan dalam format menegak (vertical video) yang dioptimumkan untuk tontonan menerusi telefon pintar membuatkan pengguna lebih selesa menonton tanpa perlu memusingkan skrin.
Cara tersebut memenuhi keperluan generasi moden yang banyak bergantung kepada peranti mudah alih sebagai sumber hiburan utama.

Peningkatan populariti drama mikro juga dipengaruhi oleh algoritma media sosial yang sering memaparkan klip-klip menarik kepada pengguna di samping potongan babak dramatik atau romantik yang tular di platform media sosial.
TikTok, Instagram Reels dan YouTube Shorts menjadi medium yang berjaya menarik minat pengguna untuk menonton keseluruhan siri melalui aplikasi berkaitan.
“Drama mikro menawarkan kelebihan kerana kos pembikinannya lebih rendah berbanding drama televisyen konvensional dan tempoh penggambaran yang lebih singkat membolehkan syarikat produksi menghasilkan kandungan dalam kuantiti banyak.
“Menguji pelbagai idea baharu dengan risiko kewangan yang lebih terkawal walaupun mempunyai bajet yang lebih kecil, aspek penceritaan tetap diberi perhatian.
“Setiap minit dimanfaatkan sepenuhnya dengan konflik yang jelas, perkembangan watak yang pantas serta penamat yang mampu meninggalkan impak kepada penonton,” lapor media itu.
Bagi menarik lebih ramai pengguna, sebahagian platform menawarkan beberapa episod pertama secara percuma sebelum pengguna membuat langganan.
Pendekatan sebegini dilihat berkesan untuk membuatkan pengguna mengikuti perkembangan cerita, sekali gus cenderung meneruskan tontonan sehingga tamat.
Bagaimanapun, segelintir pihak berpendapat jalan cerita yang kadangkala terlalu dramatik, stereotaip dan bergantung kepada plot yang berulang semata-mata untuk menarik perhatian penonton dikatakan naratif yang tidak bersesuaian dengan masyarakat setempat.
Namun, perkara itu tidak menghadkan minat pengguna untuk terus menonton, sekali gus menjadikan drama mikro ini sebagai satu evolusi digital yang bergerak seiring dengan perkembangan teknologi.
Kandungan mudah akses dan dilihat sesuai dengan gaya hidup moden menjadikan drama mikro dijangka akan terus berkembang sebagai antara format hiburan digital yang semakin mendapat perhatian pada masa hadapan.
The post Hiburan digital drama mikro kini jadi fenomena appeared first on Kosmo Digital.




