
PETALING JAYA – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, mengalu-alukan usaha untuk terus menghidupkan semula kawasan-kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun beliau berkata, usaha itu perlu dilakukan tanpa menghilangkan identiti dan jiwa lokasi-lokasi sasaran.
“Saya percaya pelaburan yang baik bukan sekadar dinilai daripada jumlah modal atau nilai projek, tetapi daripada manfaat yang berjaya diwujudkan kepada masyarakat dan ekonomi setempat.
“Sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa, saya amat mengalu-alukan usaha untuk terus menghidupkan semula kawasan-kawasan bersejarah di Kuala Lumpur tanpa menghilangkan identiti dan jiwanya,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, hadir menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Rasmi China Town 1974, di Petaling Street, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut beliau berkata, transformasi seperti Chinatown 1974 mampu menarik lebih ramai pengunjung, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Ia juga mampu memberikan limpahan ekonomi kepada usahawan, pembekal dan komuniti di sekitar kawasan.
“Tahniah kepada UDA Holdings Berhad, Menara Rezeki Sdn. Bhd. serta seluruh pasukan yang telah memberikan nafas baharu kepada aset sedia ada dengan menggabungkan elemen sejarah, budaya dan pengalaman moden,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Hidupkan semula kawasan bersejarah KL – Johari appeared first on Kosmo Digital.






