Xplorasi Warisan KL teroka lokasi bersejarah, pacu ekonomi warga kota

2 Sep 2026 • 4:05 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Xplorasi Warisan KL teroka lokasi bersejarah, pacu ekonomi warga kota

KUALA LUMPUR – Kawasan bersejarah di ibu negara bukan sekadar menyimpan nilai sejarah dan budaya, malah terus memainkan peranan dalam menggerakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat.

Perkara itu dapat dilihat menerusi penganjuran Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026 yang membawa peserta meneroka beberapa lokasi warisan dari Stadium Merdeka hingga Dataran Merdeka.

Program bersempena sambutan Hari Kebangsaan itu turut mengetengahkan kawasan seperti Pasar Seni dan Jalan Petaling yang menjadi antara tumpuan aktiviti perdagangan, makanan, kraftangan dan pelancongan di ibu negara.

Pendekatan menggabungkan elemen sejarah, budaya dan aktiviti masyarakat dilihat dapat memberi nafas baharu kepada kawasan warisan, selain menarik orang ramai untuk mengenali serta mengunjungi lokasi berkenaan.

Wakil Sekretariat Bersama Warisan KL, Dato’ Mohamed Nasri Sallehuddin berkata, kawasan warisan perlu terus dihidupkan menerusi pengalaman yang membolehkan masyarakat berinteraksi secara langsung dengan sejarah dan komuniti setempat.

“Xplorasi Warisan KL bukan sekadar satu cabaran berasaskan warisan, malah merupakan peluang untuk rakyat Malaysia mengenali sejarah Kuala Lumpur secara langsung serta menghayati kisah, lokasi dan insan yang telah membentuk negara kita,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang perjalanan dari Stadium Merdeka ke Dataran Merdeka, peserta dapat melihat bagaimana warisan terus hidup melalui komuniti, tradisi dan pengalaman bersama yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat hari ini.

Menurutnya, inisiatif sedemikian diharap dapat mendorong lebih ramai masyarakat meneroka dan menghargai warisan bersama supaya kekal bermakna serta relevan kepada generasi akan datang.

Program berkenaan turut disertai aktiviti komuniti dan persembahan kebudayaan yang mengetengahkan kepelbagaian budaya serta sejarah Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan sama, pasukan Baby G NST muncul juara Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026 dan menerima wang tunai RM4,000, manakala KITA TRY di tempat kedua dengan RM3,000.

Tempat ketiga dimenangi Baru Nak Up BERNAMA yang membawa pulang RM2,000, diikuti TERUNION di tempat keempat (RM1,000) dan BAGAN HUNTERS di tempat kelima (RM700).

Usaha menghidupkan kawasan warisan menerusi aktiviti masyarakat dilihat penting bagi memastikan lokasi bersejarah terus mempunyai fungsi dalam kehidupan bandar moden, termasuk sebagai ruang sosial, pelancongan dan ekonomi komuniti.-KOSMO! ONLINE

The post Xplorasi Warisan KL teroka lokasi bersejarah, pacu ekonomi warga kota appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved