Hilang sebelah kaki sejak berusia 12 tahun tak halang genggam PhD

16 Nov 2026 • 10:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Hilang sebelah kaki

JOHOR BAHRU: Biarpun kehilangan kaki kanan sejak berusia 12 tahun, seorang jurutera tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuk menuntut ilmu di menara gading sehingga menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Graduan pasca siswazah dalam bidang Pengurusan Fasiliti itu, Dr. Mohd. Suharizal Mahamad, 49, berkata pesanan arwah ibunya, Allahyarham Che Yoh Hashim menjadi pembakar semangat untuk beliau terus menuntut ilmu hingga ke peringkat tertinggi.

Katanya yang juga Jurutera Kanan, Cawangan Aset Bersepadu di Jabatan Kerja Raya (JKR), dia kehilangan kaki sejak 31 tahun lalu akibat dipatuk seekor ular kapak yang menyebabkan kaki kanannya itu terpaksa dipotong sehingga ke paras bawah punggung.

“Sejak peristiwa itu saya langsung tak bersemangat, namun arwah ibu selalu berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh bagi mengatasi kekurangan fizikal yang dihadapi.

“Pesanan itulah yang sentiasa saya pegang sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-70 di sini, semalam.

Jelas Mohd. Suharizal, bagai­manapun beliau akui pernah merasa rendah diri dengan keadaan dirinya itu sebelum menyertai aktiviti golf yang menghimpunkan pemain dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

“Walaupun saya berdepan kekurangan fizikal, saya tidak mahu perkara itu mengehadkan kehidupan. OKU bukan satu kekurangan, sebaliknya hanya kelainan.

Jangan jadikan status OKU sebagai had dalam kehidupan kerana setiap individu mempunyai perjalanan dan cabaran masing-masing. Apa yang penting, kita perlu terus berusaha dan tidak mudah berputus asa,” katanya.

Majlis Konvokesyen UTM Ke-70 berlangsung selama enam hari bermula semalam dengan seramai 7,369 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Daripada jumlah itu, seramai 680 graduan menerima PhD, Ijazah Sarjana (1,614), Ijazah Sarjana Muda (4,228) dan Diploma (778). – UTUSAN

The post Hilang sebelah kaki sejak berusia 12 tahun tak halang genggam PhD appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved