Bukan sekadar urus krisis! Ismail Sabri genggam PhD hasil kajian pandemik COVID-19

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 12:45 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas menamatkan penyelidikan berkaitan pengalaman Malaysia menguruskan pandemik COVID-19.

Ijazah berkenaan disampaikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin pada Majlis Konvokesyen Ke-39 UUM yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Ismail Sabri merupakan antara 451 graduan yang menerima ijazah sarjana dan PhD pada majlis tersebut.

Kejayaan itu menyaksikan pengalaman beliau menerajui pentadbiran negara ketika pandemik COVID-19 diterjemahkan dalam bentuk penyelidikan akademik sebagai rujukan kepada generasi akan datang.

Menerusi hantaran di Facebook, UUM menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai detik bermakna apabila pengalaman seorang bekas pemimpin negara dalam mengendalikan krisis berjaya didokumentasikan secara ilmiah.

“Ijazah Ph.D di UUM hari ini melakar kisah bagaimana seorang pembuat dasar negara kembali ke menara gading untuk mendokumentasikan pengalaman krisis negara dalam bentuk rujukan akademik buat generasi masa hadapan,” menurut hantaran itu.

Image from: Bukan sekadar urus krisis! Ismail Sabri genggam PhD hasil kajian pandemik COVID-19

Tesis penyelidikan beliau bertajuk Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan Kesihatan 2020–2022: Strategi Malaysia Menghadapi Pandemik COVID-19.

Kajian berkenaan diselia oleh Prof Dr Rusdi Omar dan Prof Madya Dr Che Mohd Aziz Yaacob, manakala Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw bertindak sebagai penyelia luar.

Tempoh kajian itu merangkumi fasa penting ketika Ismail Sabri menggalas tanggungjawab dalam kerajaan, bermula sebagai Menteri Kanan Pertahanan dari 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai 2021 sebelum menerajui negara sebagai Perdana Menteri kesembilan dari 21 Ogos 2021 hingga 10 Oktober 2022.

Image from: Bukan sekadar urus krisis! Ismail Sabri genggam PhD hasil kajian pandemik COVID-19

UUM turut menggambarkan kejayaan tersebut sebagai satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan Ismail Sabri, daripada menerajui pentadbiran negara kepada melengkapkan pengajian di peringkat tertinggi.

Kejayaan memperoleh PhD pada usia 66 tahun itu turut melengkapkan perjalanan akademik beliau yang bermula dengan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di Universiti Malaya (UM) dari 1980 hingga 1984.

Beliau kemudiannya diterima masuk sebagai peguam pada 1985 dan pernah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan oleh Universiti Nihon, Jepun pada 2022.

Image from: Bukan sekadar urus krisis! Ismail Sabri genggam PhD hasil kajian pandemik COVID-19

Sepanjang kerjaya politiknya, Ismail Sabri pernah memegang pelbagai portfolio kementerian termasuk Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau turut pernah menjawat jawatan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dari Mac 2019 hingga Februari 2020.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan Ahli Lembaga Pengarah UUM, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

Sumber: FB Universiti Utara Malaysia (Official FB)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved