
KUANTAN: Himpunan NGO Pahang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap kelulusan ‘tapping right’ projek pengeluaran hasil tanaman kelapa sawit di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas kira-kira 7,550 hektar di negeri ini.
Tindakan itu dibuat susulan dakwaan bahawa projek berkenaan sudah menerima kelulusan di beberapa daerah di Pahang, sekali gus menimbulkan kebimbangan serta rasa tidak puas hati dalam kalangan komuniti pekebun tempatan yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan utama.
Wakil Himpunan NGO Pahang, Ahmad Zaini Yacob berkata, laporan tersebut dibuat bagi memastikan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap proses kelulusan projek berkenaan.
Menurutnya, projek pengeluaran hasil berskala besar di kawasan hutan simpan berpotensi memberi kesan buruk kepada ekosistem alam sekitar selain menjejaskan kehidupan masyarakat yang mengusahakan tanah di kawasan berhampiran.
Katanya, laporan itu melibatkan pekebun dari empat daerah utama iaitu Bera, Maran, Raub dan Bentong yang terkesan secara langsung sekiranya projek tapping right masih diteruskan.
“Kesemua pekebun yang terlibat dalam bantahan ini merupakan penduduk tempatan yang telah lama mengusahakan tanah pertanian dan bergantung kepada hasil tanaman untuk menyara kehidupan keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Zaini yang juga Pengusaha Kelapa Sawit Lakum berkata, kebanyakan pekebun kini berdepan kehilangan sumber pendapatan kerana kawasan berkenaan sudah diambil oleh syarikat Advergen Marketing Sdn. Bhd.
Sehubungan itu, beliau berharap SPRM dapat menyiasat sama ada wujud unsur salah guna kuasa, penyelewengan atau sebarang salah laku dalam proses kelulusan ‘tapping right’ yang melibatkan kawasan HSK terbabit.
Dalam pada itu, beliau turut mendesak kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tampil memberikan penjelasan secara telus berhubung status dan justifikasi kelulusan projek di kawasan HSK bagi meredakan kebimbangan dan ketakutan kepada masyarakat setempat. – UTUSAN
The post Himpunan NGO Pahang buat laporan SPRM, minta siasat kelulusan projek sawit dalam HSK appeared first on Utusan Malaysia.




