KPDN sita diesel, lori RM250,000 disyaki salah guna ‘fleet card’

6 Nov 2026 • 3:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: KPDN sita diesel, lori RM250,000 disyaki salah guna ‘fleet card’

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 2,000 liter diesel dan pelbagai peralatan termasuk lori bernilai kira-kira 250,000 yang disyaki menyalahgunakan ‘fleet card’ dalam satu serbuan di sebuah kilang pemprosesan kelapa sawit di Pehakn semalam.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu dibuat susulan aduan awam dan risikan yang dilakukan pihaknya.

“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pemindahan cecair petroleum yang disyaki minyak diesel daripada tangki sebuah lori ke tempat penyimpanan di kawasan kilang.

“Siasatan awal mendapati diesel tersebut dipercayai diperoleh melalui pembelian di beberapa stesen minyak sebelum dibawa ke premis berkenaan, sekali gus menimbulkan syak berhubung kemungkinan penyalahgunaan kemudahan ‘fleet card’,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya pemeriksaan lanjut mendapati pihak kilang mempunyai permit penyimpanan diesel yang masih sah tetapi kaedah perolehan dan penerimaan bekalan serta pengurusan rekod stok disyaki tidak mematuhi syarat permit dan peraturan yang ditetapkan.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya menyita sejumlah diesel, sebuah lori berserta treler, tangki lori, motor pam, mesin meter, tong drum, bateri kenderaan dan pelbagai peralatan yang dianggarkan bernilai RM250,000.

Tambahnya, susulan itu juga dua tindakan telah diambil melibatkan pihak pengendali lori dan pemilik premis kilang terbabit.

Dalam pada itu beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana penyalahgunaan kemudahan ‘fleet card’ bagi pembelian diesel serta aktiviti pemindahan dan penyimpanan diesel yang dipercayai tidak mematuhi syarat permit.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan bagi mengesahkan sumber bekalan, kemungkinan penyalahgunaan ‘fleet card’ serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Sementara itu beliau berkata, KPDN memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam aktiviti penyimpanan, pengedaran atau urus niaga barang kawalan berjadual yang melanggar peruntukan undang-undang.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan bekalan barang kawalan di negeri ini sentiasa terpelihara dan tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Mana-mana orang yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan atau pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN diseru untuk menyalurkan maklumat dan aduan yang lengkap,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post KPDN sita diesel, lori RM250,000 disyaki salah guna ‘fleet card’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved