Hina Sahabat Nabi: Nik Zawawi Mohon Maaf, Akui Kurang Cermat Olah Maklumat & Penyampaian [Video]

LocalPolitics
13 May 2026 • 3:53 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Hina Sahabat Nabi: Nik Zawawi Mohon Maaf, Akui Kurang Cermat Olah Maklumat & Penyampaian [Video]

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial video ceramah Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung sejarah kehidupan para sahabat Nabi Muhammad SAW di Kuala Terengganu, Terengganu pada hujung minggu lalu.

Beliau yang dikecam hebat kemudiannya tampil memberi penjelasan tentang niat sebenarnya yang mahu memudahkan masyarakat memahami konteks sejarah namun ternyata ia masih tidak diterima banyak pihak.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Dakwaan Hina Sahabat Nabi Dalam Ceramah, Ini Penjelasan Nik Zawawi [Video]

Nik Zawawi Mohon Maaf, Akui Kurang Cermat Dalam Mengolah Maklumat

Terbaharu, Nik Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah tampil memohon maaf dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

Jelas Zawawi yang merupakan bekas Ketua Dewan Ulamak PAS, dia mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi serta menyinggung perasaan pelbagai pihak.

Terangnya, dia sama sekali tidak mempunyai niat untuk menjatuhkan maruah serta menghina insan terpilih (Sahabat Rasulullah SAW) yang dimuliakan Allah SWT.

“Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut.

“Saya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT,” tulisnya.

Tujuan Asal Hanya Mahu Tekankan Kehebatan Islam, Kenyataan Tiada Kaitan Dengan PAS

Tambah Nik Zawawi lagi, tujuan asal kenyataannya hanyalah untuk menjelaskan serta memberi penekanan tentang kehebatan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.

Malah, dia menegaskan kenyataannya itu adalah kekhilafan dirinya sendiri dan tiada kaitan dengan PAS serta barisan kepimpinan.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahupun kepimpinannya.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan,” kongsinya.

Zahir Penghargaan & Ucapan Terima Kasih Kepada Pihak Yang Memberi Teguran

Pada masa yang sama, Nik Zawawi dalam satu video yang dikongsikan oleh Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari di Facebook menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ilmuwan, sahabat serta masyarakat yang memberi teguran, nasihat serta pandangan berhubung kenyataannya itu.

Kongsinya lagi, ada juga pihak yang menyokong namun ada juga yang menegur kerana kenyataannya melibatkan sahabat Rasulullah SAW.

“Saya sendiri sama sekali tidak berniat menghina para sahabat. Cuma kesilapan di sebelah saya apabila menggunakan satu perkataan yang agak besar seperti ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’.

“Jadi saya tarik balik penggunaan perkataan ini dan saya mohon maaf kepada sesiapa yang terasa hati.

“Saya ucap ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang memberi teguran membina dan kepada yang menegur secara melulu itu, lain kali jangan melulu tegur kerana benda yang berlaku di zaman Jahiliah ini sememangnya tidak ada riwayat dan kalau ada riwayat pun dia mesti da’if, itu zaman Jahiliyah.

“Cuma tersilap apabila saya sandarkan kepada Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan sahabat,” jelasnya.

Baca Artikel Berkaitan:

Tular Dakwaan Hina Sahabat Nabi Dalam Ceramah, Ini Penjelasan Nik Zawawi [Video]