HIS TIZA milik bersama Tengku Hassanal guna saham Mentiga untuk bayar sebahagian fi penasihat

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 5:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HIS TIZA milik bersama Tengku Hassanal guna saham Mentiga untuk bayar sebahagian fi penasihat Image from: HIS TIZA milik bersama Tengku Hassanal guna saham Mentiga untuk bayar sebahagian fi penasihat johardy19/11/2026 - 17:53 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - HIS TIZA Pahang Sdn Bhd memindahkan 150,000 saham Mentiga Corporation Berhad sebagai bayaran sebahagian fi profesional kepada seorang penasihat, kurang dua minggu selepas memuktamadkan pembelian 30% kepentingan dalam syarikat perladangan itu pada harga RM21 juta.

 

HIS TIZA ialah usaha sama dengan pegangan sama rata antara HIS Holdings Sdn Bhd dan TIZA Global Sdn Bhd. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kepentingan dalam saham berkenaan melalui HIS Holdings, manakala Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melalui TIZA Global.

 

Nilai pasaran saham yang dipindahkan itu dianggarkan RM181,500 berdasarkan harga penutup Mentiga pada RM1.21 sesaham pada 16 Nov, iaitu tarikh pindahan. Mentiga tidak menyatakan nilai yang ditetapkan bagi saham berkenaan untuk penyelesaian fi itu dalam pemaklumannya kepada Bursa Malaysia.

 

HIS TIZA membeli 55,000 saham Mentiga di pasaran terbuka pada keesokan harinya. Saham Mentiga ditutup pada RM1.25 pada 17 Nov, manakala harga yang dibayar HIS TIZA tidak dinyatakan.

 

Kedua-dua urus niaga itu menjadikan pegangan HIS TIZA sebanyak 21,411,000 saham atau 30.587%. Sebelum itu, pegangannya meningkat kepada 30.723% selepas membeli 174,000 saham di pasaran terbuka antara 10 dan 12 Nov.

 

Saham Mentiga ditutup pada RM1.26 sesaham pada jam 5 petang 19 Nov, susut dua sen atau 1.56% berbanding RM1.28 pada penutupan sebelumnya. Pada harga itu, permodalan pasarannya ialah RM88.2 juta.

 

Pembelian saham bernilai RM21 juta

HIS TIZA muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar Mentiga pada 5 Nov selepas membeli 21 juta saham daripada Amanah Saham Pahang Berhad pada harga RM1 sesaham.

 

Saham Mentiga ditutup pada RM1.01 hari itu, manakala Amanah Saham Pahang mengekalkan pegangan 43.908% selepas penjualan berkenaan.

 

Menerusi perjanjian bernilai RM21 juta itu, HIS TIZA bersetuju untuk memegang saham yang diperoleh daripada Amanah Saham Pahang selama sekurang-kurangnya lima tahun.

 

Pada Oktober lalu, HIS TIZA menyatakan pihaknya merancang untuk bekerjasama dengan lembaga pengarah dan pengurusan Mentiga bagi meningkatkan hasil tandan buah segar daripada kira-kira 14 tan sehektar kepada sekitar 18 tan sehektar. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved