Titijaya guna RM154.27 juta hasil jual hab logistik Pulau Pinang untuk bayar hutang

LocalBusiness & Finance
3 Nov 2026 • 5:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Titijaya guna RM154.27 juta hasil jual hab logistik Pulau Pinang untuk bayar hutang Image from: Titijaya guna RM154.27 juta hasil jual hab logistik Pulau Pinang untuk bayar hutang johardy03/11/2026 - 17:58 Penang Logistics Hub 5 milik Titijaya yang kini digunakan oleh DHL Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov - Titijaya Land Berhad merancang menggunakan RM154.27 juta daripada hasil cadangan penjualan Penang Logistics Hub 5 di Pulau Pinang untuk membayar pembiayaan sedia ada sekali gus menjimatkan kos kewangan kira-kira RM6 juta setahun.

 

Bagaimanapun, selepas urus niaga itu disempurnakan, kumpulan tidak lagi menerima pendapatan sewa kasar daripada hartanah berkenaan sebanyak kira-kira RM17.64 juta setahun, berdasarkan sewa semasa RM1.47 juta sebulan.

 

Dalam maklumat tambahan yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia hari ini, Titijaya berkata, pembayaran pembiayaan tersebut akan dibuat apabila urus niaga selesai, dengan jumlah sebenar bergantung pada tarikh penyelesaian.

 

Penjelasan itu diberikan sebagai jawapan kepada permintaan Bursa Securities bertarikh 2 November 2026 berhubung cadangan pelupusan berkenaan.

 

Dalam pengumuman asal kepada Bursa Malaysia pada 28 Oktober 2026, Titijaya memaklumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Aman Duta Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) untuk melupuskan hartanah tersebut pada harga tunai kira-kira RM300 juta.

 

Cadangan pelupusan itu melibatkan tanah pajakan seluas kira-kira 28,562.8 meter persegi berserta kompleks komersial logistik tiga tingkat yang dikenali sebagai Penang Logistics Hub 5 di daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

 

RM144.94 juta untuk modal kerja dan pelaburan

Titijaya turut memperuntukkan RM144.94 juta daripada hasil pelupusan untuk modal kerja projek pembangunan hartanah sedia ada, pengurusan modal serta aktiviti pembangunan dan pelaburan masa depan, termasuk pembelian tanah baharu dan hartanah pelaburan.

 

Peruntukan itu dijangka digunakan dalam tempoh 12 bulan selepas bayaran penuh harga pelupusan diterima, manakala RM650,000 diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan urus niaga yang akan digunakan dalam tempoh tiga bulan selepas bayaran penuh diterima.

 

Menurut syarikat itu, kesan kehilangan pendapatan sewa dijangka dikurangkan sebahagiannya menerusi penggunaan hasil pelupusan untuk memperoleh tanah strategik, hartanah pelaburan dan pelaburan jangka pendek, selain penjimatan kos kewangan.

 

Bangunan berusia kira-kira dua tahun itu melibatkan jumlah kos pelaburan RM162.98 juta, manakala penilaian bebas oleh CBRE WTW Valuation and Advisory Sdn Bhd bertarikh 18 Julai 2025 meletakkan nilai pasarannya pada RM270 juta.

 

Titijaya menganggarkan keuntungan pelupusan sebanyak RM143.26 juta selepas mengambil kira nilai buku bersih RM155.95 juta, anggaran potongan berkaitan kecacatan serta kos pembaikan lanjut, bonus dan insentif kakitangan serta fi guaman dan profesional.

 

Berdasarkan kesan pro forma terhadap kedudukan kewangan beraudit pada 30 Jun 2026, aset bersih sesaham dijangka meningkat kepada RM1.08 daripada 97 sen, manakala nisbah penggearan kasar berkurangan kepada 0.06 kali daripada 0.18 kali selepas cadangan pelupusan itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved