HKL nafi dakwaan tandas awam kotor, tidak diselenggara

LocalHealth & Fitness
1 Aug 2026 • 10:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: HKL nafi dakwaan tandas awam kotor, tidak diselenggara
Hasil siasatan mendapati lokasi tandas yang dimuat naik dalam hantaran video tersebut tidak berada dalam fasiliti seliaan HKL. Foto tangkap layar video tular

KUALA LUMPUR - Pengurusan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menafikan dakwaan bahawa tandas awam di hospital itu berada dalam keadaan kotor dan tidak diselenggara dengan baik seperti dipaparkan dalam satu rakaman video yang tular di Facebook, semalam.

Pengarah HKL, Datuk Dr Harikrishna K R Nair berkata, pengurusan hospital mengambil maklum dakwaan tersebut dan telah menjalankan siasatan lanjut.

"Hasil siasatan dijalankan terhadap semua kemudahan tandas awam di bawah seliaan HKL mendapati lokasi tandas yang dimuat naik dalam hantaran video tersebut tidak berada dalam fasiliti seliaan HKL.

"Perkara ini juga dapat dikenal pasti kerana reka bentuk tandas yang ditularkan itu berbeza dengan milik fasiliti HKL,” katanya.

Justeru, Harikrishna berkata, tindakan tidak bertanggungjawab menularkan video berkenaan boleh menjejaskan imej warga kerjanya yang sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Beliau berkata, HKL sentiasa memandang serius aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan pesakit, pelawat serta petugasnya, dengan kerja penyelenggaraan berkala dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan semua fasiliti berada pada tahap ditetapkan.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan atau berkongsi maklumat palsu tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, HKL turut mengalu-alukan maklum balas yang membina dan sebarang aduan atau pertanyaan berkaitan fasiliti hospital boleh disalurkan melalui saluran rasmi hospital.

Terdahulu, tular di media sosial satu video yang mendakwa tandas sebuah hospital awam di Kuala Lumpur dalam keadaan daif, termasuk urinal yang melimpah hingga mengotorkan lantai, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung aspek kebersihan di fasiliti kesihatan. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved