DUNGUN - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dua rakaman video tular di media sosial yang memaparkan aktiviti disyaki penjualan air ketum secara terbuka di kawasan susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka dari arah Kemaman menghala ke Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku ketika berlangsungnya program RXZ Members 8.0, di mana lokasi tersebut merupakan laluan utama peserta menuju ke tapak penganjuran program.
Menurutnya, susulan maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati tiada lagi aktiviti penjualan seperti yang dipaparkan dalam rakaman video berkenaan.
"Pihak polis memandang serius sebarang aktiviti penjualan atau penyalahgunaan air ketum atau apa-apa barang terlarang termasuk penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Nik Ab Halim berkata, pihak IPD Dungun akan terus mempergiatkan pemantauan serta penguatkuasaan, khususnya di lokasi tumpuan orang ramai dan sepanjang penganjuran program berskala besar.
Jelas beliau, sekiranya ada sebarang tangkapan dan rampasan dibuat, kes boleh disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada IPD Dungun atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan.






