HKL pantau rapi anggota polis selepas pembedahan sambung semula tangan

LocalHealth & Fitness
13 Nov 2026 • 7:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: HKL pantau rapi anggota polis selepas pembedahan sambung semula tangan
Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai kejayaan penyambungan semula tangan anggota polis oleh pakar HKL.

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan pemantauan rapi terhadap perkembangan penyambungan semula tangan seorang anggota polis akibat serangan pada Rabu lepas.

Pengarah HKL, Datuk Dr Harikrishna K. R. Nair berkata, anggota polis berkenaan dirujuk ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan kepakaran, sebelum segera dibawa ke Dewan Bedah Utama bagi pembedahan tersebut selepas pemeriksaan dan penilaian teliti dilakukan oleh pasukan pakar.

Beliau berkata, pembedahan selama lapan jam itu melibatkan penyambungan semula salur darah dan struktur saraf yang tercedera, selain pemulihan struktur anatomi tangan yang terlibat.

"Pembedahan itu diketuai Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL Dr R. Allan Ravi  dan Dr Aziz Sabbir Husain dengan kerjasama seluruh pasukan Unit Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL serta pasukan anestesiologi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Harikrishna berkata, kes itu melibatkan prosedur kompleks yang memerlukan kepakaran khusus, kemahiran mikrosurgeri tinggi serta kerjasama erat antara pelbagai disiplin bagi memastikan rawatan menyeluruh dan optimum.

Katanya, HKL komited untuk terus menyediakan perkhidmatan rawatan berkualiti tinggi menerusi kepakaran multidisiplin, teknologi dan kemahiran profesional demi kesejahteraan masyarakat.

Pada Rabu lepas, anggota polis itu putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong. - Bernama 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved