Suspek tetak polis didakwa ada gangguan mental

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 4:28 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Suspek tetak polis didakwa ada gangguan mental

SHAH ALAM – Seorang lelaki asing yang menyerang anggota polis, Lans Koperal Thierry Rodger Pendy sehingga putus pergelangan tangan kanan di Kepong kelmarin dipercayai mengalami gangguan mental.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, perkara itu dimaklumkan salah seorang kenalan suspek ketika pihaknya melakukan siasatan berhubung kejadian serangan berdarah tersebut.

“Suspek dipercayai mempunyai gangguan mental dan mengamuk (sebelum kejadian) di premis (kediaman suspek).

“Berdasarkan maklumat itu, maka pihak polis, bomba dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) pergi ke lokasi untuk mengambil tindakan sewajarnya (menenangkan suspek).

“Apa punca yang menyebabkan mental suspek tidak stabil, ia sedang disiasat pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Ditanya mengapa mangsa yang berusia 26 tahun itu tidak melepaskan tembakan, Shazeli berkata, anggota di lapangan yang menentukan situasi semasa kejadian sama ada sesuai atau tidak tembakan dilepaskan ke atas suspek.

Jelasnya, kehadiran ramai individu di tempat kejadian membuatkan Thierry Rodger tidak melepaskan tembakan.

“Kita ada panduan dan SOP (prosedur operasi standard) sebagai petunjuk. Tapi akhirnya, anggota di lapangan yang menentukan sama ada SOP boleh dilakukan atau tidak. Kita tidak mampu memastikan setiap anggota kita bertindak mengikut SOP ketika saat genting,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shazeli berkata, bedah siasat ke atas suspek akan dijalankan hari ini dan lebih 20 individu direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang anggota polis parah akibat ditetak lelaki warga asing yang bersenjatakan parang.

Melihat suspek cuba bertindak menyerang anggota serta pegawai agensi lain, anggota polis lain melepaskan beberapa das tembakan, dengan suspek meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. – KOSMO! ONLINE

The post Suspek tetak polis didakwa ada gangguan mental appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved