HLGY Energy bangunkan loji solar 152.7MWp di Kedah dengan sokongan teknologi U Mobile

LocalTechnology
17 Nov 2026 • 2:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HLGY Energy bangunkan loji solar 152.7MWp di Kedah dengan sokongan teknologi U Mobile Image from: HLGY Energy bangunkan loji solar 152.7MWp di Kedah dengan sokongan teknologi U Mobile liza17/11/2026 - 14:53 Kerjasama itu mencerminkan aspirasi U Mobile untuk menjadi rakan penyelesaian digital yang dipercayai dalam menyokong transformasi sektor tenaga boleh baharu dan ekonomi digital negara Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – U Mobile menjalin kerjasama strategik dengan HLGY Energy Sdn Bhd bagi membangunkan loji tenaga solar pintar di Kedah Rubber City, Padang Terap, Kedah menerusi penggunaan teknologi rangkaian persendirian 5G kecerdasan buatan (AI) dan rumusan digital pintar.

 

Melalui perjanjian kerjasama strategik itu, U Mobile akan bertindak sebagai rakan pilihan HLGY Energy bagi penyediaan perkhidmatan telekomunikasi, ketersambungan dan penyelesaian teknologi untuk projek Kedah Rubber City Solar Power Plant (KERC SPP).

 

Dibangunkan di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), KERC SPP akan meliputi kawasan kira-kira 300 ekar di Padang Terap, Kedah.

 

Projek itu mempunyai kapasiti solar terpasang sebanyak 152.7 megawatt puncak (MWp), selain dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 60.48 megawatt (MW) dan 240.72 megawatt-jam (MWh) yang dijadual memulakan operasi pada separuh pertama 2028.

 

Kerjasama berkenaan turut menetapkan hala tuju pembangunan infrastruktur digital dan penggunaan teknologi bagi menyokong operasi loji solar yang lebih cekap, pintar serta saling berhubung.

 


Penyelesaian rangkaian persendirian 5G yang dicadangkan U Mobile akan menjadi tulang belakang ketersambungan bagi loji solar berkenaan, sekali gus menyokong integrasi analisis berasaskan AI, sistem pengawasan pintar dan keupayaan pemantauan masa nyata.

 

Teknologi 5G jadi asas operasi loji solar pintar

Penggunaan teknologi itu dijangka meningkatkan keupayaan pemantauan operasi, memperkukuh aspek keselamatan serta membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas berdasarkan analisis data.

 

Ketua Pegawai Perniagaan U Mobile, How Lih Ren berkata, peranan syarikat itu bukan sekadar menyediakan perkhidmatan ketersambungan, sebaliknya turut membangunkan asas digital yang selamat dan pintar bagi membantu industri meningkatkan kecekapan operasi serta membuat keputusan lebih tepat.

 

Beliau berkata, kerjasama itu mencerminkan aspirasi U Mobile untuk menjadi rakan penyelesaian digital yang dipercayai dalam menyokong transformasi sektor tenaga boleh baharu dan ekonomi digital negara.

 

Loji solar berkapasiti 152.7MWp mula beroperasi pada 2028

Sementara itu, Pengerusi merangkap Pengarah Eksekutif HLGY Energy, Kenneth Yap Kian Hoong berkata, pemeteraian perjanjian itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat memajukan penyelesaian tenaga boleh baharu serta menyumbang kepada peralihan tenaga Malaysia.

 

Menurutnya, masa depan tenaga boleh baharu bukan sahaja bergantung kepada penggunaan tenaga solar, malah memerlukan gabungan inovasi teknologi, operasi pintar berasaskan AI dan kerjasama strategik.

 

Beliau berkata, kepakaran rakan kerjasama akan dimanfaatkan bagi mewujudkan sinergi, meneroka peluang baharu serta menyokong pembangunan penyelesaian tenaga yang praktikal, cekap dan mampan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved