
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh keupayaan tempatan untuk membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) sendiri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar menerusi Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 (Negara AI 2030).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kedaulatan AI merujuk kepada keupayaan negara mengawal pembangunan, penggunaan dan tadbir urus teknologi itu berdasarkan kepentingan negara, di samping mengurus kebergantungan terhadap teknologi luar.
Katanya, pendekatan itu penting bagi melindungi data, keselamatan dan kepentingan rakyat serta memastikan Malaysia terus memanfaatkan kerjasama dan kemajuan teknologi global.
“Kerajaan memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu pembangunan teknologi dan model tempatan, pembangunan ekosistem data, pengukuhan infrastruktur AI tempatan serta pembangunan bakat AI tempatan.
“Pertama, pembangunan teknologi dan model tempatan melalui pembangunan serta penyesuaian model, aplikasi dan penyelesaian AI yang memenuhi konteks dan keperluan negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berhubung strategi kerajaan membangunkan kedaulatan teknologi dan AI supaya Malaysia mampu membangunkan teknologi, data serta bakat sendiri dan tidak sekadar menjadi pengguna teknologi asing.
Mengulas lanjut, Gobind berkata, pembangunan teknologi dan model tempatan itu bertujuan memperkukuh inovasi, penciptaan nilai serta penyertaan industri dalam rantaian nilai AI selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk menggalakkan produk dan perkhidmatan ‘Made by Malaysia’.
Katanya, pembangunan ekosistem data pula menumpukan data yang lebih tersusun, berkualiti dan mudah dimanfaatkan termasuk pembangunan set data keutamaan yang mencerminkan bahasa, budaya serta konteks tempatan.
“Usaha ini turut merangkumi penyelarasan perkongsian data sektor awam dengan mengambil kira aspek keselamatan, perlindungan data dan pematuhan undang-undang,” katanya.
Bagi pengukuhan infrastruktur AI tempatan, beliau berkata, kerajaan sedang membangunkan Awan AI Berdaulat (Sovereign AI Cloud) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, Jabatan Digital Negara (JDN) turut menyediakan platform AI as a Service (AIaaS) bagi menyokong penggunaan AI dalam sektor awam.
“Setakat ini, sebanyak 117 agensi telah memohon untuk menggunakan AI Sandbox bagi menguji dan membangunkan penyelesaian AI.
“Usaha ini juga bertujuan memastikan data kerajaan diurus dengan selamat dan mengurangkan risiko kebocoran data sensitif,” katanya.
Mengenai pembangunan bakat AI tempatan pula, Gobind berkata, kerajaan memperluas program latihan, peningkatan kemahiran dan pembangunan kepakaran melalui kerjasama dengan industri serta institusi pendidikan selaras dengan sasaran melahirkan 200,000 tenaga mahir AI bagi memenuhi keperluan negara. –UTUSAN
The post Malaysia bangunkan AI, kurangkan kebergantungan teknologi luar appeared first on Utusan Malaysia.






