HLIB kekal saranan ‘beli’ Sunway dengan sasaran RM5.90 didorong prospek positif sehingga 2026

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2025 • 10:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HLIB kekal saranan ‘beli’ Sunway dengan sasaran RM5.90 didorong prospek positif sehingga 2026

image is not available

18/08/2025 - 10:34

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Sunway Bhd dengan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian sebanyak RM5.90, didorong prospek pertumbuhan kukuh seiring pemulihan kitaran ekonomi Malaysia yang semakin rancak.

Firma penyelidikan itu juga optimis Sunway akan kekal sebagai antara peneraju utama dalam mencerminkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sehingga 2026, dengan pelbagai pemangkin baharu yang berpotensi meningkatkan nilai pemegang saham.

“Antara faktor utama yang menyokong pandangan positif itu termasuklah jangkaan perolehan buku pesanan pembinaan lebih tinggi daripada unjuran, kemungkinan penukaran status tanah Medini kepada pegangan bebas serta penyenaraian unit penjagaan kesihatan Sunway yang dirancang pada awal 2026.

“Ia diyakini akan membuka potensi besar kepada nilai pasaran kumpulan.

“Dalam jangka panjang, segmen hartanah Sunway diramal terus berdaya tahan dengan sokongan kadar pengambilan kukuh daripada pelancaran berfasa, pengembangan bank tanah strategik serta manfaat daripada pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” kata HLIB dalam nota kajiannya.

Pada masa sama, projek-projek kumpulan di Singapura turut menunjukkan kemajuan stabil.

Dari sudut teknikal, HLIB menilai prospek harga saham Sunway kekal positif selepas melonjak daripada paras sokongan berganda RM4.00 (17 Januari) dan RM3.93 (7 April), sebelum menembusi purata pergerakan 200 hari pada RM4.65.

Saham itu kemudian mencapai paras tertinggi sepanjang masa RM5.16 pada 18 Julai lalu, sebelum ditutup pada RM4.74 pada Isnin.

HLIB menjangkakan saham Sunway mampu bertahan di atas paras sokongan RM4.64 dengan potensi kenaikan ke tahap RM4.84, RM5.00, RM5.15 dan RM5.32.

“Risiko penurunan pula dianggap terhad dengan paras henti rugi ditetapkan pada RM4.53,” katanya. - DagangNews.com

standard