MCE di landasan tepat catat hasil positif didorong kontrak di AS, kata HLIB

11/08/2025 - 11:03
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 11 Ogos - MCE Holdings Bhd berada di landasan tepat untuk terus mencatatkan hasil positif didorong pemerolehan kontrak di Amerika Syarikat (AS) serta kejayaan menjadi sebahagian daripada pembekal dalam rantaian bekalan kenderaan elektrik (EV).
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, selain itu, kumpulan itu turut mengembangkan penawaran produknya menerusi jalinan kerjasama di pasaran antarabangsa.
Katanya, MCE sebelum ini meraih dua kontrak di pasaran automotif AS menerusi perjanjian dengan Dormant Products Inc selain dua kontrak mekatronik daripada syarikat berpangkalan di Michigan AS.
"Jalinan kerjasama membekalkan produk berkaitan dengan Chery turut mengukuhkan kedudukan MCE dalam rantaian pembekalan tempatan Chery di Malaysia.
"Sementara itu, usaha sama yang dimeterai pada November 2024 dengan Abhishek Electronics dari India membuka peluang ke pasaran automotif India yang sedang berkembang pesat. Langkah strategik ini memperluaskan kehadiran MCE di pelbagai pasaran dan sektor, dengan pelaburan permulaan yang minimum," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, kemasukannya dalam rantaian bekalan EV menerusi kontrak baharu dengan Perodua juga dilihat memberi impak positif kepada pendapatan kumpulan.
Katanya, kontrak itu membolehkan MCE membekalkan komponen infotainmen dan Advanced Driver Assistance System (ADAS) bernilai tinggi untuk model EV pertama Perodua, dengan hasil dianggarkan sekitar RM3,000 setiap kenderaan — hampir 10 kali ganda nilai biasa bagi setiap komponen.
"Dengan Perodua merancang untuk melancarkan EV pada harga mampu milik, pendapatan tahunan daripada program ini dijangka mencecah antara RM39.8 juta hingga RM59.7 juta, bersamaan 26% hingga 38% daripada pendapatan MCE bagi tahun kewangan 2024 (FY24), menjadikannya pemangkin pendapatan yang signifikan," katanya.
HLIB memulakan liputan dengan saranan 'beli" pada harga (TP) RM2.40 sesaham
Disokong permintaan yang stabil daripada Proton dan Perodua serta pengembangan melalui segmen elektronik dengan margin tinggi, eksport dan usaha sama strategik, MCE menawarkan peluang pelaburan yang kukuh dan boleh diskalakan sejajar dengan transformasi jangka panjang sektor ini. - DagangNews.com
standard

