Honda Malaysia Umum Panggilan Balik 87,490 Unit Kenderaan

LocalCars
10 Jun 2025 • 2:46 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Honda Malaysia Umum Panggilan Balik 87,490 Unit Kenderaan

Honda Malaysia hari ini mengumumkan panggilan balik melibatkan sebanyak 87,490 unit kenderaan miliknya.

Difahamkan, arahan ini dikeluarkan bertujuan bagi penggantian pam bahan api sebagai langkah berjaga-jaga untuk menjamin keselamatan pengguna.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, syarikat itu menegaskan bahawa model-model baharu yang sedang dalam pengeluaran dan dijual ketika ini tidak terjejas oleh panggilan balik tersebut.

Menurut Honda Malaysia, dua jenis isu berkaitan pam bahan api telah dikenal pasti:

1. Masalah Pam Bahan Api Impeller

Sebanyak 84,073 unit kenderaan daripada model Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey terlibat dalam isu ini.

Masalah berpunca daripada impeller pada pam bahan api yang berisiko mengembang apabila terendam dalam bahan api untuk tempoh lama.

Keadaan ini boleh menyebabkan enjin gagal dihidupkan atau terhenti ketika pemanduan.

image is not available

2. Masalah Pam Bahan Api Tekanan Tinggi

Sebanyak 3,417 unit model Civic dan CR-V keluaran tahun 2023 hingga 2024 pula terlibat dalam isu pam tekanan tinggi.

Pam jenis ini berkemungkinan mengalami retakan akibat tekanan berlebihan dan penggunaan berpanjangan, sekali gus boleh menyebabkan kebocoran atau bau bahan api ketika memandu atau semasa enjin melahu.

image is not available

Honda Malaysia menegaskan bahawa keselamatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan utama syarikat. Mereka juga berjanji akan terus mengambil langkah proaktif dan bersikap telus dalam usaha menjaga kualiti produk.

“Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan yang mengandungi butiran lanjut mengenai panggilan balik ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, orang ramai boleh menyemak status kenderaan masing-masing melalui aplikasi HondaTouch, laman web rasmi Honda Malaysia atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2020.

Honda Malaysia turut memaklumkan bahawa penggantian pam bahan api akan dilakukan secara percuma, dan segala kos berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat.

Selain itu, stok alat ganti juga akan disediakan secara berperingkat.

Setakat ini, tiada sebarang insiden kemalangan atau kecederaan dilaporkan di Malaysia berkaitan isu ini.

Sumber: Astro Awani