Honda WR-V 2023 dengan enjin 1.5L serba baharu dilancar di Malaysia, harga bermula RM89,900
zulfadli
13/07/2023 - 12:08
KUALA LUMPUR 13 Julai - Honda Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV kecilnya, WR-V 2023 1.5 liter serba baharu berharga bermula RM89,900.
Harga tersebut ditawarkan untuk varian asas S, diikuti varian pertengahan E berharga RM95,900, manakala V ditawar pada harga RM99,900 dan varian tertinggi RS berharga RM107,900, yang mana harga atas jalan tanpa insurans.
Setakat ini, sebanyak 2,500 unit SUV kecil WR-V 2023 ditempah, sejak ia mula dibuka pada 12 Jun 2023.
Dari segi peratusan, tempahan paling banyak adalah untuk varian RS, dengan kira-kira 45% tempahan, manakala V mengikuti rapat dengan 38%, dan varian E pada sekitar 12%, selebihnya untuk varian asas S.
Honda yakin model ini bakal menjadi penentu arah aliran seterusnya yang akan memenangi hati peminat SUV di Malaysia.
Penampilan sporty WR-V serba baharu diperkuatkan oleh reka bentuknya yang padat dan berkadar baik.
Model ini berukuran 4,060mm panjang, 1,780mm lebar dan 1,608 tinggi. Dengan pelepasan tanah yang tinggi 207mm, yang mengatasi kereta dari kelas di atas, WR-V menawarkan praktikaliti dan mudah dikendalikan untuk perjalanan di bandar.






Model ini tersedia dengan varian RS yang menampilkan lambang RS yang direka bentuk baharu, jeriji hadapan unik dan Roda Aloi Dwi-Tona 17". Penampilannya yang anggun dan sporty dipertingkatkan dengan pemegang pintu belakang gaya coupe, memberikannya gaya yang 'edgy'.
WR-V serba baharu turut menampilkan Cermin Pintu Boleh Tarik Kuasa, Lampu Utama LED Auto dan Lampu Siang LED (DRL) serta Lampu Kabus Depan LED dan Isyarat Giliran Berjujukan LED.


Dilengkapi dengan enjin berkuasa, WR-V serba baharu menetapkan penanda aras baharu dengan enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang menjana kuasa maksimum 121PS dan tork maksimum 145Nm.
Disepadukan dengan Transmisi Pembolehubah Berterusan (CVT) dengan teknologi peralihan reka bentuk G, SUV Kecil serba baharu itu merealisasikan keseimbangan sempurna antara penjimatan bahan api yang cemerlang dan prestasi pemanduan. - DagangNews.com



