Honor Magic V6 telah diperkenalkan di MWC 2026 dan kini mula dipasarkan di China. Meskipun rekaan serta kebanyakan cirinya sama seperti model global, perbezaan utama masih terletak pada kapasiti bateri. Model global hadir dengan bateri silikon-karbon 6,660mAh manakala model China menawarkan kapasiti lebih besar bergantung pada konfigurasi RAM dan storan dalaman.

Model dengan 256GB RAM + 512GB ROM dilengkapi bateri 6850mAh manakala model paling besar 16GB RAM + 1TB ROM mempunyai bateri 7,150mAh. Kesemua model menyokong pengecasan pantas 80W dan nirwayar 66W sekali gus memberikan kelebihan dari segi ketahanan tanpa menjejaskan prestasi keseluruhan. Dengan ini, dapat dirumuskan bahawa perbezaan ketara antara model global dan China ialah kapasiti bateri yang lebih besar pada versi pasaran China manakala aspek lain kekal serupa.

Honor Magic V6 hadir dengan skrin utama berukuran 7.95 inci yang dipadankan dengan skrin luar 6.52 inci. Tunjang utama peranti ini dijana oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, manakala sistem kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP, telefoto 64MP, ultra lebar 50MP serta dwi-kamera hadapan 20MP.

Honor juga menambah baik aspek ketahanan dengan memperkenalkan engsel baharu Super Steel yang mempunyai kekuatan 2,800 MPa untuk memastikan struktur lipatan lebih kukuh. Pada masa yang sama, kedalaman lipatan turut dikurangkan sebanyak 44% bagi menghasilkan paparan yang lebih rata.

Tidak ketinggalan, Honor memperkenalkan ciri perkongsian fail yang serasi dengan peranti Apple bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian ekosistem mereka dengan pelbagai platform.

