
Honor mengesahkan bahawa model baharu Honor X9e Pro akan hadir ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Peranti ini merupakan model Pro pertama dalam siri X dan dijangka menarik perhatian pengguna dengan beberapa peningkatan utama.
Antara kelebihan utama model ini ialah bateri berkapasiti besar yang dikatakan antara terbesar dalam segmen telefon pintar semasa. Dengan kapasiti ini, pengguna boleh menikmati penggunaan lebih lama sama ada untuk bekerja, berhibur atau berhubung tanpa perlu risau bateri cepat habis.
Selain daripada bateri, telefon ini dibuat dengan tubuh yang lebih kukuh. Reka bentuknya memberi perlindungan tambahan apabila peranti terjatuh atau terkena hentakan dalam penggunaan harian. Ia turut hadir dengan ciri kalis air yang dipertingkatkan sekali gus menambah keyakinan pengguna apabila berdepan dengan keadaan tidak dijangka.

Dari segi kemasan, Honor membawakan pilihan warna baharu iaitu ungu dengan kemasan emas pada keseluruhan bingkai serta bonggol kamera belakang. Reka bentuk ini diyakini mampu menambah sentuhan premium pada rupa telefon ini.
Tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan namun ia dijangka berlangsung dalam masa terdekat. Sejak diperkenalkan, siri Honor X telah mempunyai lebih 130 juta pengguna di seluruh dunia.




