Honor menutup tirai pelancaran produk baharu hari ini dengan perkongsian yang mencuri perhatian. Pada penghujung pembentangan, jenama ini memperlihatkan imej awal telefon pintar mercu terbaharu, Honor Magic 9. Buat masa ini, paparan yang ditunjukkan hanyalah bayangan bentuk luar peranti namun sedikit sebanyak memberikan gambaran awal tentang reka bentuk yang bakal diperkenalkan.

Honor Magic 9 dilihat masih mengekalkan tubuh melengkung yang menjadi identiti siri ini tetapi hadir dengan rekaan sedikit lebih tebal berbanding Magic 8 Pro. Modul kamera bulat yang menjadi tanda khas siri Magic kini ditempatkan di bahagian kiri tengah panel belakang, di man berbeza daripada posisi tengah pada generasi terdahulu. Kerangka kamera dengan gerigi halus serta kemasan perak melengkapkan keseluruhan rekaan dan menambah sentuhan premium pada peranti.

Kerjasama dengan ARRI jelas kelihatan pada bonggol kamera, memberi petunjuk bahawa Magic 9 bakal hadir dengan sistem kamera berteknologi profesional. Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada teknologi yang digunakan sama seperti pada Robot Phone atau sebaliknya. Menariknya, imej awal turut memperlihatkan tulisan 200MP bersama sensor bersaiz 1/1.4 inci serta sokongan OIS.




