Peruntukan tepat, ‘badang’ pun kita boleh lahirkan

31 Jul 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Peruntukan tepat, ‘badang’ pun kita boleh lahirkan

PADU! Demikian gambaran prestasi membanggakan kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang sedang berlangsung ketika ini. Kem negara mudah melepasi sasaran awal lima pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.

Meskipun berdepan saingan sengit daripada kuasa besar seperti Australia, England, Kanada dan India, untuk rekod setakat kelmarin, Malaysia sudah memperoleh enam emas, dua perak dan tiga gangsa.

Seramai 59 atlet termasuk atlet para negara mengambil bahagian dalam lapan daripada keseluruhan 10 sukan dipertandingkan di Glasgow 2026. Acara tersebut antaranya renang, berbasikal trek, olahraga, angkat berat dan boling padang, selain enam sukan para yang dipertandingkan.

Kejayaan paling menyerlah sudah semestinya datang daripada acara angkat berat yang menyumbang lima emas setakat kelmarin.

Bermula dengan Mohamad Aniq Kasdan, penguasaan luar biasa kem angkat berat negara diteruskan dengan Muhamad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat dan Muhammad Hafizuddin Roslin. Mohamad Syahmi Nor Ghazali turut menaiki podium dengan lagu Negaraku sekali lagi gah berkumandang, sekali gus membuktikan disiplin ini terus mempunyai tradisi kuat menyumbang pingat di pentas Komanwel.

Kejayaan gemilang ini bukan datang daripada jalan mudah. Contohnya badang kelahiran Kampung Belukar, Abi, Perlis, Muhammad Hafizuddin, 22, yang mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024. Ini penampilan pertama beliau di pentas Komanwel.

Dua tahun lalu beliau hanya berlatih di sebuah bilik darjah di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin, Kangar. ‘Pusat latihan’ serba kekurangan. Kejayaan pada Sukma Sarawak membuka mata banyak pihak sebelum mereka menerima peruntukan menaik taraf pusat latihan.

Sekadar perbandingan pada edisi Sukan Komanwel Birmingham 2022, Malaysia meraih tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa untuk berada di tempat ke-10 keseluruhan dengan 23 pingat.

Sehubungan itu, penulis berpendapat melalui penyediaan peruntukan kewangan dan kemudahan sukan yang mencukupi mampu melahirkan jaguh handalan dunia.

Fasiliti serta infrastruktur seperti stadium, gelanggang, padang dan kemudahan sukan yang berkualiti bukan sahaja untuk atlet elit, malah untuk masyarakat di peringkat akar umbi.

Bakat-bakat muda perlu dikenal pasti melalui sekolah, kelab dan program pembangunan sukan sebelum diberikan latihan khusus oleh jurulatih yang berkelayakan.

Atlet berprestasi tinggi pula perlu diberikan sokongan dari aspek sains sukan, pemakanan, kecergasan, psikologi dan perubatan sukan agar mereka mampu mencapai prestasi terbaik.

Kerajaan perlu memperkasa persatuan sukan dan menggalakkan penglibatan sektor swasta serta masyarakat dalam pembangunan sukan. Persatuan sukan perlu diurus secara profesional, telus dan bertanggungjawab supaya peruntukan yang diterima benar-benar memberi manfaat kepada atlet. – KOSMO! ONLINE

The post Peruntukan tepat, ‘badang’ pun kita boleh lahirkan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved