SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan digesa menyalurkan bayaran royalti petroleum secara terus kepada kerajaan negeri selain memastikan pengagihan peruntukan Parlimen dilaksanakan secara adil tanpa sebarang halangan, selaras dengan prinsip federalisme.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, pendirian Terengganu dan Kelantan dalam menuntut royalti petroleum adalah berdasarkan kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144) dan Perjanjian Penyerahan Hak 1975 yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Menurutnya, secara nas undang-undang yang jelas, kedua-dua perjanjian berkenaan menetapkan pembayaran tunai tahunan sebanyak lima peratus perlu dibuat terus kepada kerajaan negeri.
"Dalam hal ini, saranan Menteri Besar Terengganu dan Kelantan wajar diberi perhatian. Semua pihak kembali kepada tafsiran asal Akta Pembangunan Petroleum 1974 dengan bayaran lima peratus royalti dibuat secara telus dan terus oleh Petronas kepada kerajaan negeri.
"Tafsiran berkaitan isu wilayah laut serta had tiga batu nautika perlu diperhalusi agar selaras dengan semangat Akta Wilayah Laut 2012 dan hak sempadan negeri yang dijamin," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Syahir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang meminta agar isu royalti petroleum tidak dijadikan modal politik.
Mohd Syahir berkata, usaha memperincikan tafsiran had tiga batu nautika berkenaan pernah diambil dalam pentadbiran terdahulu dan telah sampai ke peringkat akhir.
Menurutnya, bayaran royalti juga pernah disalurkan secara telus dan terus kepada Terengganu serta Kelantan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Bagaimanapun, langkah memuktamadkan tafsiran tersebut tergendala apabila Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lebih awal," kongsinya.
Mengulas kebimbangan mengenai ketirisan, beliau menegaskan semua hasil dan perbelanjaan kerajaan negeri tertakluk kepada tatakelola kewangan serta proses audit yang telus.
"Setiap butiran hasil dan perbelanjaan akan dimasukkan dalam Belanjawan Tahunan Negeri, dibentang dan dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diluluskan, serta dibelanjakan mengikut prosedur serta pekeliling kewangan yang ditetapkan," katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengingatkan supaya isu peruntukan Parlimen kepada kawasan pembangkang tidak wajar diabaikan termasuklah peruntukan kepada kawasan Parlimen pembangkang yang masih terhalang.
Beliau menjelaskan, permohonan yang kerap diterima wakil rakyat termasuklah bantuan kebajikan, projek mesra rakyat dan sumbangan kepada persatuan penduduk.
"Inilah realiti yang dihadapi wakil rakyat sama ada kerajaan mahupun pembangkang, setiap hari. Sewajarnya, peruntukan sebegini disalurkan secara adil dan saksama di setiap kawasan Parlimen, tanpa mengira perbezaan politik," ujarnya.
Pada masa sama, beliau memuji pendekatan diplomasi dan rundingan yang diambil oleh Menteri Besar Terengganu dan Kelantan dalam menangani isu berkenaan terutamanya royalti.
"Kami tidak membina tembok, tetapi membuka pintu seluasnya. Secara prinsipnya, pengagihan sumber yang adil dan cekap adalah penting bagi merapatkan jurang ekonomi wilayah yang diwarisi sejak merdeka. Usaha tersebut menuntut kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
"Justeru, demi menghormati semangat federalisme, pertama, salurkan royalti petroleum terus kepada kerajaan negeri dan kedua, agihkan peruntukan Parlimen secara adil dan saksama, seumpama laluan Selat Melaka yang tidak terhalang, tidak diganggu gugat dengan pelbagai syarat dan halangan," katanya.






![Senarai Bantuan untuk B40 [2026] – Mengikut Negeri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://ecentral.my/wp-content/uploads/2026/04/image-290.png)