Hormati perlembagaan, proses pemilihan yang telah selesai: Upko Kota Belud

Politics
29 Nov 2022 • 12:28 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KOTA BELUD: Semua ahli Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) diingatkan agar menghormati perlembagaan parti dan proses pemilihan parti yang telah selesai.

Setiausaha Penganjur Upko Bahagian Kota Belud, Dr Rizoh Bosorang berkata keputusan berkaitan pemilihan parti telahpun dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Upko yang diadakan pada 28 September 2022 dan sepatutnya kepimpinan baharu sudah dipilih pada 15-16 Oktober yang lalu jika tidak ditunda bagi memberi tumpuan kepada persiapan Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Bahagian-Bahagian Upko telah mengemukakan pencalonan bagi jawatan Presiden dan lain-lain jawatan dalam Majlis Tertinggi. Sebenarnya bukan rahsia dalam parti bahawa Datuk Ewon Benedick mendapat pencalonan lebih dua pertiga daripada Bahagian-Bahagian Upko.

“Bagaimanapun, Presiden Datuk Madius Tangau membuat kenyataan yang sangat diplomatik untuk tidak mempertahankan jawatan. Proses pemilihan parti mengikut perlembagaan telahpun selesai dan kami meminta semua ahli menghormati proses yang telah selesai ini. LAPORAN akhbar ini pada Isnin.

“Malah Dato Seri Anwar telah menjemput Ewon untuk memberikan kata aluan sebagai bakal Presiden Upko semasa mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan di Parlimen pada 5 Oktober 2022 yang lepas,” katanya.

Rizoh berkata kesatuan dalam parti sangat penting bagi menambahkan sokongan daripada pelbagai segmen rakyat termasuk bekas ahli-ahli parti yang mahu kembali kerana berlakunya keputusan peralihan kepimpinan dalam parti.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Datuk Madius kerana berjaya mempertahankan kerusi parlimen Tuaran dan kami juga berbangga dengan Datuk Ewon yang telah mengambil risiko dan berjaya menambah kekuatan Upko dengan memenangi kerusi parlimen Penampang.

“Kami di Upko Kota Belud telah dididik untuk membina pasukan dan membuat keputusan berasaskan kepentingan parti. Saya percaya Majlis Tertinggi dan pucuk pimpinan parti juga telah membuat keputusan berkaitan hala tuju parti yang terdekat ini terutama berkaitan Kerajaan Perpaduan pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim dan bagaimana Upko boleh memainkan peranan dalam kerajaan ini.

“Kita mesti menghormati keputusan yang telah dibuat bersama, bukan mahu hanya seorang sahaja yang membuat keputusan,” katanya.

Rizoh juga berharap agar Persidangan Perwakilan Persidangan Tritahunan Upko pada 14-15 Januari 2023 berjalan lancar mengikut perlembagaan parti dan keputusan yang telah dimuktamadkan sebelum ini.

Ketua Perhubungan Upko Tamparuli Jeffrey Teo dan dalam satu kenyataan Ahad lepas menggesa Madius menimbang semula keputusan untuk melepaskan jawatan Presiden Upko.

Menurutnya, ketika Madius menyatakan hasrat untuk berbuat demikian, ia jauh sebelum PRU15 dan keadaan ketika itu berbeza.

“Setelah mengemudi Upko untuk mencatat prestasi yang baik dalam pilihan raya (PRU15), beliau harus mempertimbangkan semula keputusannya untuk menyerahkan jawatan itu kepada Naib Presiden Datuk Ewon Benedick,” katanya.

Beliau berharap bahagian lain turut menggesa Tangau untuk mempertimbangkan semula keputusannya itu.

“Untuk masa depan Upko, kita semua harus berdiri di belakangnya untuk menggesa dia mempertimbangkan semula keputusannya,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.