
Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Penampang dan bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Ewon Benedick menyatakan harapan agar Pakatan Harapan (PH) Sabah diwakili dalam Kabinet Persekutuan supaya menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan untuk melaksanakan tawaran-tawaran ‘Kita Boleh’ PH untuk rakyat Sabah.
“Kita menyokong penuh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi PH. Untuk ini, saya berharap PH Sabah akan diwakili dalam Kabinet Persekutuan agar kita dapat memastikan pelaksanaan tawaran-tawaran khas PH kepada rakyat Sabah sepertimana yang kita kempenkan dalam pilihan raya ini.
“Bagi pihak parti Upko pula, kita sudah memaklumkan pucuk pimpinan mengenai syor daripada parti mengenai penglibatan di dalam kerajaan persekutuan ini. Saya juga akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri mengenai perkara ini,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian menyatakan perkara itu ketika ditanya oleh wartawan selepas pembentangan Belanjawan Sabah 2023 oleh Ketua Menteri pada Jumaat.
Ketika ditanya mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri sama ada dari Sabah atau Sarawak, Ewon berkata Perdana Menteri mempunyai pertimbangan berdasarkan kepada kekuatan Ahli Parlimen terutamanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 23 orang Ahli Parlimen.
“Pada saya, yang penting adalah bagaimana tawaran-tawaran PH kepada rakyat Sabah itu dapat dilaksanakan terutamanya mengenai hak 40 peratus Sabah. Sudah tentu kitapun mahu Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Sabah tetapi kita maklum dengan kekuatan GPS dalam Kerajaan Perpaduan ini, maka itu tidak menjadi isu. Yang penting hak Sabah dapat dilaksanakan.
“Inilah menjadi perjuangan utama saya sebagai salah seorang Presiden parti komponen PH iaitu memastikan apa yang sepatutnya milik Sabah dapat diberikan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Enam perkara khas itu dituntut oleh pemimpin-pemimpin Upko dan dimasukkan dalam Tawaran Harapan PRU15 “Kita Boleh” dan dipersetujui oleh semua pemimpin PH.
Enam perkara khas itu ialah membela nasib orang asal Sabah; merapatkan jurang pembangunan Wilayah Sabah dan wilayah-wilayah lain; memperkasakan wilayah Sabah menerusi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63); desentralisasi kuasa kepada Wilayah Sabah; menyelesaikan pelbagai isu kebanjiran warga asing di Sabah dan mencipta peluang pekerjaan dan menarik pelaburan di Sabah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
