SHAH ALAM - Pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung isu penternakan babi di negeri Selangor seolah-olah mengingkari titah jelas Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pemangku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Malaysia, Borhan Ahmad Zakaria berkata, titah baginda pada 10 Februari 2026 lalu adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.
Beliau berkata, Sultan Selangor dengan tegas menyatakan tidak berkenan sama sekali dengan sebarang bentuk penternakan babi di seluruh Selangor, sama ada berskala besar mahupun kecil.
"Alasannya bukan sekadar emosi tetapi berasaskan fakta tentang pencemaran udara, bau busuk serta ancaman terhadap sumber air bersih yang menjadi nadi kehidupan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Baginda juga telah mengingatkan bahawa kos teknologi moden yang kononnya mampu mengurus sisa adalah terlalu tinggi dan tidak munasabah hanya untuk memenuhi keperluan daging babi di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Borhan berkata, apa yang mengecewakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui jurucakapnya, membawa pendirian berbeza seolah-olah ada ruang untuk membuka ladang babi di “kawasan baharu” dengan syarat teknologi tinggi.
Katanya lagi, kenyataan tersebut adalah satu tindakan yang mencabar kedaulatan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam dan Raja Pemerintahan negeri.
"Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas meletakkan Sultan di kedudukan tertinggi dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu di negerinya. Lebih menghairankan ialah kenyataan Perdana Menteri sendiri pada 9 Februari 2026 yang menyatakan beliau tidak bersetuju dengan projek di kawasan yang dibantah penduduk.
"Kini pendirian itu berubah tanpa penjelasan munasabah. Ini menimbulkan persoalan sama ada Kerajaan Persekutuan lebih mementingkan kepentingan komersial dan tekanan pihak DAP dan sekutunya berbanding menjaga sensitiviti dan kesejahteraan rakyat Selangor yang majoritinya orang Melayu Islam.
"Tanah adalah di bawah kuasa negeri. Selangor tidak berhutang apa-apa kepada mana-mana pihak untuk menyediakan ladang babi atas nama bekalan makanan. Jika bekalan daging babi menjadi isu, cadangan Sultan untuk mengimport adalah jalan paling selamat, bersih dan tidak mencetuskan konflik sosial serta pencemaran alam," katanya.
Jelasnya lagi, Perkasa Malaysia menuntut Kerajaan Persekutuan menghormati sepenuhnya titah Sultan Selangor tanpa syarat dan tanpa tafsiran baharu yang mengelirukan.
Tambahnya lagi, Selangor sepatutnya tidak dijadikan sebagai medan eksperimen yang mengorbankan kesihatan rakyat dan maruah institusi raja demi alasan pembangunan ekonomi yang sempit.
"Institusi beraja bukan untuk dipersetujui apabila ia selari dengan kehendak politik dan ditolak apabila ia menjadi penghalang," ujarnya.





