
KLANG, 18 NOV: Hospital Kapar dijangka mula beroperasi secara berfasa seawal Jun tahun depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memantau rapat kemajuan pembinaan hospital itu sebagai langkah jangka panjang menyuraikan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Beliau berkata Hospital Berpakar Major itu bakal beroperasi dengan kapasiti 312 katil selain turut merangkumi 17 bidang kepakaran, termasuk fasiliti khas penyakit berjangkit.
"Setakat 20 Oktober lepas, kemajuan fizikal projek Hospital Kapar itu berada pada tahap 96.26 peratus, manakala kemajuan kewangan mencapai 85.07 peratus. Pembangunan projek itu berjalan mengikut jadual ditetapkan dengan sifar kelewatan dan dijangka mula beroperasi seawal Jun 2027 secara berfasa.
"Populasi penduduk di Kapar sahaja dianggarkan kira-kira 320,000 orang yang meliputi 1.2 juta penduduk di Klang," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja rasmi di HTAR di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan hospital yang dibina dengan kos RM831 juta itu mencatatkan kemajuan fizikal memuaskan dan menghampiri sasaran jadual pelaksanaan.
Pembinaan hospital dengan visi strategik itu mempunyai kapasiti 312 katil serta pelbagai kemudahan klinikal yang dijangka mampu menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti khususnya untuk komuniti setempat,
Malah, hospital itu mempunyai fasiliti khusus yang dilengkapi dengan wad isolasi dan infectious operating theater (OT), serta bilik autopsi berstatus Biosafety Level 3 (BSL-3).






