sarah19/10/2026 - 14:53 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt - Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A mencatatkan kemajuan fizikal 89.54%, manakala Fasa 1B mencapai 25.53%, dengan Kementerian Kerja Raya menegaskan tiada kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek itu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembayaran bagi kedua-dua fasa dibuat berdasarkan kerja yang telah disiapkan, dengan penyaluran dana mengikut atau melebihi tahap yang dijadualkan.
Beliau berkata, kemajuan fizikal sebenar Fasa 1A sebanyak 89.54% masih di bawah sasaran 96.23%, manakala kadar penyaluran kewangan mencapai 88.78%.
Bagi Fasa 1B pula, kemajuan fizikal 25.53% mengatasi sasaran 24.76%, sementara penyaluran kewangan sebanyak 22.11% turut melebihi kadar yang dijadualkan iaitu 20.73%.
“Oleh itu, tiada isu berkaitan pembayaran,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Wetrom Bahanda (Kota Marudu) di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad berkata, projek sepanjang 706 kilometer itu merangkumi 35 pakej kerja, terdiri daripada 16 pakej Fasa 1A dan 19 pakej Fasa 1B, dengan empat pakej telah disiapkan sepenuhnya manakala baki 31 pakej dijangka siap secara berperingkat sehingga 2030.
Menurutnya, sembilan lagi pakej Fasa 1A dijangka disiapkan menjelang penghujung 2026 dan awal 2027, namun pelaksanaan keseluruhan projek masih berdepan cabaran pengambilan balik tanah, pengalihan utiliti, keadaan cuaca, prestasi kontraktor serta isu tadbir urus projek.

Beliau berkata, kementerian memperketat pemantauan melalui jawatankuasa pemandu dan pasukan petugas, termasuk mesyuarat bulanan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bagi mengenal pasti punca kelewatan serta mempercepat penyelesaian masalah di tapak.
Selain itu, kementerian turut mengadakan sesi libat urus bersama agensi kerajaan dan syarikat utiliti, di samping mengeluarkan amaran keras kepada kontraktor yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan, dengan tindakan lanjut boleh diambil mengikut syarat kontrak sekiranya tiada penambahbaikan.
Mengulas mengenai jalan berkembar yang merentasi Kota Marudu, Ahmad menjelaskan laluan berkenaan merupakan jalan negeri dan tidak termasuk dalam jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.- DagangNews.com






