UMNO jemput pimpinan tertinggi Pas hadir PAU 2026

LocalPolitics
29 Aug 2026 • 7:59 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: UMNO jemput pimpinan tertinggi Pas hadir PAU 2026

PETALING JAYA – UMNO bersetuju memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi Pas untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadual berlangsung bulan depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung malam tadi dan dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, jemputan berkenaan dibuat sebagai tanda penghormatan kepada kepimpinan Pas.

“Mesyuarat turut bersetuju untuk memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi Pas bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026.

“Ia sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan yang telah diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan sama, UMNO turut memberi ruang kepada kepimpinan parti di peringkat negeri untuk mengadakan perbincangan dan rundingan dengan parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi menegaskan sebarang rundingan bagi menjalinkan kerjasama pilihan raya perlu berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan serta gertakan.

Pada masa sama, UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal dalam kalangan ahli akademik yang menjurus kepada sentimen rakyat terutama orang Melayu yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan.

Parti itu turut berpandangan kepentingan keindukan Melayu perlu menjadi teras kepada kestabilan politik negara.

PAU 2026 dijadual berlangsung pada 9 hingga 12 September ini, manakala tiga program utama iaitu Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia dan Laman Wanita Kreatif akan diadakan sehari lebih awal pada 8 September. – KOSMO! ONLINE

The post UMNO jemput pimpinan tertinggi Pas hadir PAU 2026 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved