Hotel dihuni pelancong Malaysia bergoyang kiri ke kanan

18 Aug 2026 • 10:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hotel dihuni pelancong Malaysia bergoyang kiri ke kanan

PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia berkongsi pe­ngalaman cemas bersama suami dan dua anak apabila berdepan gempa bumi kuat ketika berada di tingkat lima sebuah hotel menghadap laut di Labuan Bajo, Indonesia, Sabtu lalu.

Saidatina Afifah Menan, 35, berkata, dia dan keluarganya tiba di Labuan Bajo pada Khamis lalu dan dijadualkan pulang hari ini.

Katanya, pada pagi kejadian, mereka sedang bersiap untuk mengemas barang dan mendaftar keluar dari hotel sebelum dijemput ejen kira-kira pukul 6.30 pagi bagi mengikuti aktiviti pelayaran ke Pulau Padar.

“Tiba-tiba bekalan elektrik di hotel terputus sebelum gegaran berlaku, namun pada mulanya kami menyangka ia hanya gangguan elektrik biasa.

“Kira-kira pukul 6.10 atau 6.15 pagi, tiba-tiba terasa gegaran sangat kuat. Bangunan bergoyang ke kiri dan kanan, lampu turut berayun, manakala badan saya sendiri terasa terhuyung-hayang.

“Gegaran itu mungkin hanya sekitar lima atau enam saat, tetapi ketika itu terasa sangat lama dan amat menakutkan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Selepas gegaran berhenti, Saidatina Afifah bersama keluarganya segera keluar dari bilik sebelum mengambil barang dan turun ke tingkat bawah bersama pelancong lain.

Image from: Hotel dihuni pelancong Malaysia bergoyang kiri ke kanan
Saidatina Afifah bersama keluarganya di Taman Nasional Komodo, Labuan Bajo, sebelum gempa bumi berlaku pada Sabtu lalu.

Menurutnya, mereka hanya mengetahui gempa bumi berlaku selepas dimaklumkan pihak pengurusan hotel.

Katanya, gegaran susulan turut dirasai ketika mereka berada di lobi hotel, namun tidak sekuat gegaran pertama.

“Semua aktiviti pelayaran pada waktu pagi dibatalkan, manakala bekalan elektrik dan talian telefon terputus sementara ketika itu.

“Hotel kami ada balkoni besar menghadap pantai. Kami nampak ramai orang mula bergerak menjauhi kawasan laut dan me­nuju ke darat selepas ada amaran tsunami,” katanya.

Bagaimanapun, Saidatina Afifah dan keluarganya mengambil keputusan untuk kekal di Labuan Bajo sehingga tarikh penerba­ngan asal mereka selepas yakin keadaan akan kembali selamat.

“Ini kali pertama kami sampai di Labuan Bajo dan kali pertama juga merasa gempa sekuat ini. Penduduk tempatan turut berkongsi dengan kami bahawa mereka lihat laut surut sebanyak tiga kali sebelum kejadian.

“Itu apa yang diceritakan kepada kami. Sampai ke hari ini kami di sini, masih kekal terasa gegaran kecil,” katanya.

Berdasarkan kenyataan rasmi Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, gempa bermagnitud 7.7 me­landa wilayah Flores pada pukul 4.58 pagi waktu Indonesia Barat (WIB), bersamaan kira-kira pukul 5.58 pagi waktu tempatan Labuan Bajo, pada 15 Ogos lalu.

Gempa berkedalaman 15 kilometer itu berpusat di laut kira-kira 30 kilometer timur laut Nagekeo, Nusa Tenggara Timur.

BMKG turut merekodkan gelombang tsunami setinggi 0.36 meter di Labuan Bajo sebelum amaran awal tsunami ditamatkan pada pukul 7.30 pagi WIB.

Agensi tersebut turut mencatat 235 gempa susulan hingga pukul 2 petang WIB pada hari sama de­ngan magnitud antara 2.5 sehingga 6.2.

The post Hotel dihuni pelancong Malaysia bergoyang kiri ke kanan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved