‘Terasa bahagian atas bangunan akan runtuh timpa kami’

18 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Terasa bahagian atas bangunan akan runtuh timpa kami’

PETALING JAYA – Percutian tiga beradik rakyat Malaysia ke Labuan Bajo, Indonesia bertukar detik cemas apabila mereka berdepan gempa bumi kuat ketika sedang menunggu untuk memulakan aktiviti pelayaran ke Pulau Padar, Sabtu lalu.

Noor Syahidah Mohd. Mokhtar, 33, berkata, dia bersama dua adiknya, Noor Syahira, 28, dan Muhammad Idzwan Afdal, 26, tiba di Labuan Bajo kira-kira pukul 2.30 petang pada Jumaat lalu untuk bercuti selama empat hari.

Katanya, pada hari pertama semuanya berjalan lancar sebelum mereka bangun seawal pukul 4 pagi keesokan harinya untuk mengikuti aktiviti pelayaran ke Pulau Padar.

“Kami dijemput pemandu selepas pukul 5 pagi dan dibawa ke pelabuhan. Hampir pukul 6 pagi, saya mula melihat papan tanda di dalam bangunan bergerak ke kiri dan kanan.

“Pada mulanya saya menyangka bangunan itu mengalami masalah kerana kelihatan seperti bangunan lama.

“Lampu mula berkelip-kelip sebelum saya terdengar bunyi gegaran kuat. Saya benar-benar takut kerana terasa seperti bahagian atas bangunan akan runtuh dan timpa kami,” kata­nya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurutnya, keadaan bertukar panik apabila salah seorang adiknya berlari keluar, disusuli orang ramai yang turut berebut meninggalkan bangunan.

Katanya, mereka meminta pemandu menghantar kembali ke hotel sebelum mula mencari tiket penerbangan untuk me­ninggalkan Labuan Bajo.

“Kami minta pemandu hantar ke lapangan terbang. Sepanjang perjalanan memang sesak dan ramai orang juga berada di luar hotel.

“Setiba di lapangan terbang, kami tidak boleh masuk, bekalan elektrik tiada. Hampir sejam di luar sebelum dibenarkan masuk,” katanya.

Menurutnya, mereka hanya menemui tiket penerbangan sehala pada harga kira-kira RM1,500 seorang untuk keesokan harinya.

“Dalam kepala cuma fikir kalau boleh hendak balik sahaja. Duit sudah jadi nombor dua, yang penting nyawa,” ujarnya.

Katanya, mereka berada di kawasan lapangan terbang sehingga malam sebelum mencari penginapan yang lebih dekat dengan lapangan terbang.

“Pengalaman berdepan gempa bumi terus menghantui kami apabila gegaran susulan masih dirasai sehingga menyebabkan kami tidur secara bergilir-gilir sebelum berjaya pulang ke Malaysia,” ujarnya.

The post ‘Terasa bahagian atas bangunan akan runtuh timpa kami’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved